My Add

Friday, 4 October 2013

BN mahu bawa pembangunan di Sungai Limau - Mukhriz

IPOH, JUMAAT, 04 Oktober, 2013: Barisan Nasional (BN) menawarkan pembangunan di Sungai Limau, Kedah jika berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 4 November ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, gandingan kerajaan negeri yang kini di bawah kerajaan BN dan kerajaan Pusat mampu memastikan kawasan DUN Sungai Limau turut sama dalam arus pembangunan nasional.

"Pilihan raya kecil itu adalah satu cabaran besar bukan sahaja buat saya sebagai Menteri Besar yang baharu, tetapi keseluruhan jentera parti.

"Ini kerana kawasan DUN Sungai Limau adalah kubu kuat Pas, yang dimenangi oleh bekas Menteri Besar (Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak). Saya akui kita (BN) underdog (bukan pilihan) di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyertai Sesi Pengenalan Calon Ahli Majlis Tertinggi dan Exco Pergerakan Sayap UMNO yang akan bertanding pada pemilihan parti itu di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei lalu, Azizan mengekalkan DUN Sungai Limau selepas menang dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru termasuk sepupu beliau, Mohd. Fazillah Mohd. Ali yang mewakili Barisan Nasional (BN).

Ini merupakan pilihan raya kecil (PRK) kedua selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan yang pertama, PRK DUN Kuala Besut yang diadakan pada 24 Julai lalu.

Mengenai kriteria calon BN yang bakal dipilih untuk bertanding bagi kerusi berkenaan, Mukhriz berkata, perkara itu sedang diteliti.

Menurut beliau, calon merupakan faktor yang mampu menjadi penentu kemenangan BN dalam pilihan raya tersebut.

"Sebenarnya tidak kira sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, faktor calon memainkan peranan penting," katanya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment