Boeing bantu pendidikan sains, matematik di Malaysia
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 03 Okt0ber, 2013: Boeing komited untuk membantu memastikan generasi pekerja Malaysia pada masa akan datang mempunyai kemahiran sains dan matematik untuk mengekalkan daya saing negara ini dalam ekonomi global, kata Presidennya bagi Asia Tenggara, Skip Boyce, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
"Apabila kami gabungkan usaha kerajaan-kerajaan, entiti tidak mencari untung dan syarikat sektor swasta seperti Boeing dan rakan kongsi kami, kami boleh memberi kesan di sini dan seluruh dunia," kata Boyce dalam ucaptamanya pada Persidangan Kerjasama Transnasional Antarabangsa dalam Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik yang berlangsung di Kuching, Sarawak.
Boyce mengambil bahagian sebagai sebahagian daripada Inisiatif Pembangunan Modal Insan Boeing, suatu usaha untuk bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin Malaysia untuk mengadakan program-program pendidikan dan latihan yang akan memberi manfaat kepada industri aeroangkasa negara ini.
Persidangan itu menghimpunkan para guru, pembuat dasar, saintis dan pencipta inovasi untuk meneroka bagaimana usaha dan kerjasama pendidikan sains rentas budaya boleh membantu mempersiapkan pelajar bagi kerjaya dalam pasaran global abad ke-21.
Boeing ialah syarikat aeroangkasa terkemuka di dunia serta pengeluar terbesar pesawat jet dan pesawat tentera, yang menyediakan produk dan perkhidmatan sokongan kepada pelanggan di 150 negara. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment