Friday, 4 October 2013

Dagangan Malaysia-China diunjur AS$160 bilion - PM

 *PERDANA Menteri, Najib Razak (kanan) bersama Presiden China, Xi Jinping ketika mengadakan sidang akhbar bersama di Bangunan Perdana Putra Putrajaya hari ini. - UTUSAN
PUTRAJAYA, JUMAAT, 04 Oktober, 2013: Malaysia dan China mengunjurkan dagangan dua hala kedua-dua negara berjumlah US$160 bilion menjelang 2017, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata dalam pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping di sini hari ini, mereka turut membincangkan program lima tahun membabitkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara, serta bersetuju meningkatkan kerjasama strategik semasa Malaysia-China dalam "Perkongsian Strategik Komprehensif".

Perdana Menteri berkata China juga menyuarakan minat untuk mengambil bahagian dalam projek kereta api berkelajuan tinggi, selain Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou serta Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan, yang memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

"Kami juga membincangkan kerjasama dalam perkhidmatan kewangan. Kami mahu melihat lebih banyak perdagangan antara negara diselesaikan menggunakan mata wang tempatan, Renminbi dan Ringgit," katanya pada sidang media bersama Xi selepas kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan tertutup di Pejabat Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra di sini pagi ini.

"Maklumat perlu disebarkan kepada sektor swasta kedua-dua negara. Kami juga bersetuju supaya institusi kewangan di Malaysia dan China memain peranan yang lebih besar di kedua-dua negara," katanya.

Xi dan 100 anggota delegasinya tiba di Malaysia semalam untuk lawatan tiga hari, dan kedua-dua pemimpin dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia-China di Kuala Lumpur petang ini, yang bermatlamat mempromosi dan meningkatkan hubungan dan kerjasama antara Malaysia dan China.

Najib berkata Presiden Xi juga menyebut beberapa bidang baharu kerjasama kedua-dua negara, termasuk teknologi maklumat dan komunikasi, bioteknologi.

sains dan teknologi angkasa.

"Kami juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam penguatkuasaan undang-undang, menangani jenayah merentas sempadan, keselamatan siber, selain kerjasama ketenteraan yang lebih kukuh dan mendalam. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment