My Add

Saturday, 5 October 2013

Institusi kehakiman negara bebas

Oleh AZHARI ZAINOODDIN

PULAU PINANG, JUMAAT, 04 Oktober, 2013: Institusi kehakiman di negara ini adalah bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan atau badan politik.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria berkata, dakwaan yang mengatakan institusi kehakiman dipengaruhi pihak luar adalah tidak benar dan hanya merupakan persepsi masyarakat yang perlu ditangani.

Malah, katanya, institusi kehakiman di negara ini juga adalah bergerak dalam laluannya sendiri.

"Keadilan harus diberikan 100 peratus dan saya jamin semua hakim di negara ini adalah bebas daripada sebarang pengaruh atau campur tangan mana-mana pihak.

"Jadi semua pegawai kehakiman perlu memainkan peranan dalam mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap institusi kehakiman di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai-pegawai Kehakiman, di sini hari ini.

Dalam persidangan empat hari bermula semalam, seramai 582 pegawai kehakiman yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendaftar, Majistret dan Penolong Kanan Pendaftar dari seluruh negara terlibat.

Persidangan itu juga merupakan platform kepada peserta membincangkan pelbagai isu yang berkait dengan institusi kehakiman.

Terdahulu dalam ucapannya, Arifin mahukan semua prosiding dan perbicaraan di mahkamah dilakukan secara terus tanpa melibatkan penangguhan dengan jangka masa yang lama.

Beliau seterusnya menambah, pihaknya juga sentiasa berusaha untuk mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap institusi kehakiman di negara ini.

"Keadilan tidak boleh dikompromi dan sebab itu kita sentiasa berusaha untuk menangani persepsi sesetengah pihak yang selama ini beranggapan badan kehakiman negara dipengaruhi pihak tertentu," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment