KPDNKK rampas minyak, kenderaan lebih RM816,000 di Perlis
KANGAR, SABTU, 05 Oktober, 2013: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas minyak dan kenderaan bernilai lebih RM816,000 daripada 92 kes di Perlis sejak awal tahun ini, kata Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Negeri Perlis, Razali Lebai Salleh di sini hari ini.
Rampasan terbesar membabitkan 39 buah kenderaan pelbagai jenis bernilai RM537,800, 110,941 liter petrol bernilai RM265,151.50 dan 7,448 liter diesel bernilai RM13,938.40.
Menurut Razali, pihaknya akan terus melakukan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi dan akan bertindak tegas terhadap pihak yang terbabit.
Pada Ops Penyelewengan Petrol/Diesel Bersubsidi KPDNKK selama tiga hari berakhir 3 Oktober lalu, pihaknya merampas 1,470 liter petrol, empat unit pam elektrik penyedut minyak, 18 unit tong drum dan empat buah tong plastik yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1,200.
Rampasan dilakukan di Padang Besar membabitkan dua lokasi dan dua lelaki tempatan berumur awal 30-an telah ditahan untuk siasatan.
Razali berkata, operasi yang diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan Zahari Ismail bersama 10 anggota telah melakukan operasi di kawasan pinggir sempadan antarabangsa itu dan dua kertas siasatan telah dibuka.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kelulusan Pengawal Bekalan dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda maksimum RM100,000 dan penjara selama tiga tahun. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment