Penjenayah cedera ditembak polis di Sungai Petani
Oleh OPAT RATTANACHOT
SUNGAI PETANI, JUMAAT, 04 Oktober, 2013: Seorang penjenayah cedera ditembak polis dalam kejadian di Taman Keladi di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, suspek yang berusia 18 tahun berkenaan cedera di bahagian bahu ketika cuba melarikan diri selepas diarahkan menyerah diri.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Ariffin berkata, kejadian bermula apabila anggota polis peronda terserempak dengan sebuah kenderaan yang dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan di Taman Sejati Indah.
Katanya, anggota polis peronda terbabit kemudian membuat semakan status kenderaan dan mendapati kereta tersebut pernah digunakan untuk melakukan samun dan rompakan bersenjata.
"Suspek diminta memberhentikan kenderaan, namun mereka tidak berbuat demikian, sebaliknya terus memecut laju.
"Polis terpaksa mengejar kenderaan tersebut sejauh dua kilometer hingga ke Taman Keladi. Dalam keadaan kelam-kabut itu, polis melepaskan tembakan dan mengenai bahu kanan salah seorang suspek,'' katanya ketika dihubungi di sini. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment