Saya bukan pengkhianat - David Dass
KUALA LUMPUR , SABTU, 05 Oktober, 2013: "Saya bukan pengkhianat parti seperti didakwa Karpal Singh, saya hanya menentang segelintir pemimpin yang sanggup berbuat apa sahaja demi kuasa dalam DAP."
Begitulah reaksi bekas Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, A. David Dass yang dituduh sebagai pengkhianat parti apabila memfailkan permohonan injunksi bagi menghalang pemilihan khas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baru-baru ini.
Katanya, segala usahanya selama ini adalah untuk membersihkan imej parti yang tercemar berhubung penyelewengan CEC tahun lalu sehingga menyebabkan jawatankuasa sedia ada diistihar tidak sah oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Saya juga menentang sikap segelintir pemimpin tertinggi yang memperlakukan parti seperti hak milik keluarga mereka dan tidak menghormati Perlembagaan parti. Mereka membuat keputusan sesuka hati.
"Sebelum Karpal menuding jari kepada saya, saya minta beliau supaya memperbetulkan keadaan dalam parti dan mengenal pasti dahulu siapakah pembelot sebenarnya," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Karpal selaku Pengerusi DAP ketika berucap pada Kongres Ke-16 DAP pada 29 September lalu mendakwa David Dass sebagai pengkhianat parti kerana membawa isu parti ke mahkamah.
David Dass telah memfailkan permohonan injunksi pada 10 September lalu bagi menghalang pemilihan khas CEC parti itu kerana didakwa bertentangan dengan Perlembagaan parti.
Menurut David Dass, pemimpin parti itu banyak menutup mata dan telinga daripada menangani ketidakadilan yang berlaku dalam DAP walaupun mahu dilihat sebagai menjuarai kebajikan rakyat.
Beliau turut mendakwa terdapat sekumpulan lelaki berpakaian merah cuba menakut-nakutkannya ketika Kongres Khas itu berlangsung.
"Saya terkejut apabila saya bercakap dengan media, beberapa orang yang berpakaian merah menumbuk saya dari belakang. Mereka bercakap dalam bahasa Cina, mahu menyerang saya. Nasib baik ada beberapa wartawan yang membantu.
"Semua ini adalah komplot beberapa pemimpin yang tidak menyenangi saya kerana akhir-akhir ini saya telah mendedahkan pelbagai salah laku dalam parti, mungkin ini kerja mereka," ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment