Sekretariat Bebas Muflis bela golongan muflis
Oleh MOHD. HAZLI HASSAN
SUNGAI BULOH, KHAMIS, 03 Oktober, 2013: Mereka yang muflis akibat menjadi penjamin sosial, masalah teknikal dan tertipu mendapat jaminan lisan daripada menteri berkaitan bahawa masalah mereka akan diselesaikan.
Pengerusi Sekretariat Bebas Muflis, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, jaminan lisan itu diperoleh ketika sekretariat mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dan Ketua Pengarah Insolvensi, Rohana Abd. Malek baru-baru ini.
"Pada pertemuan itu kami sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah diberi jaminan lisan oleh menteri bahawa masalah muflis dalam kalangan penjamin sosial akan diselesaikan dengan cara terbaik.
"Malah menteri juga bersetuju menerima penubuhan kami di mana perlunya sebuah entiti lain seperti Sekretariat Bebas Muflis untuk menjadi pemudah cara dan memberikan pemahaman antara golongan muflis dan juga jabatan," katanya kepada pemberita pada pelancaran Sekretariat Bebas Muflis di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Usahawan Pemuda UMNO turut berkata, pada fasa pertama itu sekretariat akan mengumpul nama-nama mereka yang 'dizalimi' untuk diberikan khidmat nasihat sebelum kes mereka dihantar ke Jabatan Insolvensi.
Malah Sohaimi turut menegaskan, sekretariat akan mendesak jabatan agar menyelesaikan dengan kadar segera masalah golongan muflis yang berkait dengan penjamin sosial, masalah teknikal mahupun yang ditipu.
"Selama ini golongan ini terasa dipinggirkan dan mereka juga menganggap jabatan tidak akan dapat menyelesaikan masalah mereka jadi kita akan menjadi jambatan sebagai penghubung dan insya-Allah kita akan cuba selesaikan masalah mereka.
"Untuk itu juga kita merayu Jabatan Insolvensi akan menjadi lebih proaktif bagi membolehkan masalah golongan teraniaya ini diselesaikan secepat mungkin dan tidak lagi menjadi batu penghalang," katanya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment