My Add

Monday, 25 November 2013

Iran kawal program nuklear

 * MENTERI Luar Iran, Mohammad Javad Zarif (dua dari kanan) memeluk Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius selepas persetujuan nuklear Teheran dicapai di Geneva, Switzerland, semalam. - Reuters
 GENEVA, AHAD, 24 November, 2013: Iran bersetuju untuk mengawal program nuklear negara itu sebagai balasan kepada pengurangan sekatan dikenakan Barat, dalam persetujuan yang dicapai dengan enam negara kuasa dunia hari ini.

Mengikut persetujuan Iran dengan Amerika Syarikat (AS), Britain, Rusia, China, Perancis dan Jerman, Teheran akan mengehadkan aktiviti pengayaan uranium kepada tahap rendah.

Iran juga akan meneutralkan keseluruhan stok simpanan uraniumnya kepada tahap sederhana iaitu 20 peratus dalam tempoh enam bulan, menurut Setiausaha Negara AS, John Kerry di Geneva.

Selain itu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) juga dibenar meluaskan pemeriksaan terhadap program nuklear Iran, tindakan yang tidak pernah dibuat sebelum ini.

Sebagai balasannya, Teheran akan memperolehi pelonggaran sekatan bernilai kira-kira AS$7 bilion (RM22.4 bilion) dan negara-negara kuasa dunia itu berjanji untuk tidak mengenakan sekatan baharu dalam tempoh enam bulan jika persetujuan tersebut dipatuhi.

White House bagaimanapun menyatakan, sebahagian besar sekatan termasuk berkaitan minyak, kewangan, perbankan dan pertanian yang dikenakan ke atas Iran masih dikekalkan dan kelonggaran itu hanya bersifat terhad serta sementara.

Presiden AS, Barack Obama dalam pada itu berkata, persetujuan awal yang dicapai selepas diplomasi selama sedekad dan peningkatan ketegangan, adalah 'langkah pertama yang penting' bagi mengurangkan kebimbangan Iran akan membuat bom nuklear.

Presiden Iran, Hassan Rohani pula menyifatkan kejayaan itu sebagai 'pilihan rakyat Iran yang mahukan kesederhanaan' dan akan 'membuka ruang baharu'.

Namun, pejabat Perdana Menteri Israel menganggapnya sebagai 'persetujuan yang buruk' kerana masih memberi keupayaan kepada Iran untuk membuat senjata nuklear. - AFP/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment