My Add

Monday, 25 November 2013

Kerajaan laksana program terbaik untuk ekonomi

 * NAJIB Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menerima buku 'RHB's 100 Years Journey' pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-100 RHB Bank Bhd. di Kuala Lumpur, malam semalam. Turut hadir Azlan Zainol (dua kiri); Pengerusi RHB Investment, Tan Sri Ong Leong Huat (kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking Group, Kellee Kam Chee Khiong (kiri). - BERNAMA
KUALA LUMPUR, AHAD, 24 November, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk perkembangan ekonomi negara meskipun beberapa keputusan dibuat mungkin tidak popular dalam kalangan rakyat ketika ini.

Perdana Menteri berkata, beliau percaya apa yang baik untuk ekonomi negara turut akan memberi manfaat kepada rakyat.

Sehubungan itu Najib berkata, beliau telah memperkenalkan tiga penanda aras untuk memacu pertumbuhan serta kestabilan ekonomi dan meneruskan program transformasi negara dalam pembentangan bajet lalu.

Beliau juga berbangga apabila polisi kerajaan itu diiktiraf oleh badan-badan antarabangsa yang terkemuka.

"Beberapa minggu lalu, Bank Dunia melonjakkan kedudukan negara daripada posisi ke-12 kepada enam dalam laporan tahunannya berhubung negara paling mudah untuk mengendalikan perniagaan. Ini meletakkan kita berada di dalam liga yang sama dengan Singapura, Hong Kong, New Zealand, Amerika Syarikat dan Denmark.

"Walau bagaimanapun, tiada ruang untuk kita berasa terlalu selesa. Ekonomi yang stabil lahir daripada kerjasama sihat serta menguntungkan antara kerajaan dengan sektor swasta. Kerajaan tidak boleh menjamin kestabilan pertumbuhan secara bersendirian, hasrat itu perlu disokong bersama oleh peneraju-peneraju syarikat korporat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis makan malam sempena ulang tahun ke-100 RHB Bank Bhd. di sini malam tadi.

Yang turut hadir Pengerusi RHB Bank Bhd., Tan Sri Azlan Zainol.

Mengulas lanjut, Najib memberitahu, kerajaan memahami peranan besar yang telah dimainkan oleh sektor perbankan kepada perkembangan ekonomi negara.

Katanya, perkembangan ekonomi diukur berdasarkan kekuatan sektor perbankan.

"Sebab itu, dalam Program Transformasi Ekonomi, sektor perkhidmatan kewangan telah dikenal pasti sebagai kunci utama kepada pertumbuhan ekonomi. Kerajaan menyasarkan sektor ini menyumbang RM180 bilion kepada pendapatan isi rumah dan menyediakan 275,400 peluang pekerjaan baharu pada tahun 2020," jelas beliau.

Selain itu, Najib berkata, kesinambungan ekonomi negara akan mencipta peluang kewangan baharu kepada bank-bank terutamanya dalam kalangan sektor swasta yang akan menjadi enjin pertumbuhan negara.

"Malaysia mempunyai jangkaan yang tinggi dalam sektor perkhidmatan kewangannya. Kami mahu sektor ini terus memainkan peranan penting dalam membantu mencipta ekonomi yang kukuh dan stabil," ujar beliau. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment