Tuesday, 26 November 2013

Pemilik digesa serah senjata api tiruan

Oleh Ilah Hafiz Aziz

 * ZULKIFLI Abdullah (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan senjata tiruan, senjata mainan dan senjata untuk sukan pada sidang akhbar mengenai pemilikan senjata tiruan di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/WAHIDAH ZAINAL
KUALA LUMPUR, ISNIN, 25 November, 2013: Peningkatan jumlah senjata api tiruan mendorong polis mengambil tindakan drastik dengan mewajibkan setiap individu yang memiliki senjata berkenaan supaya menyerahkannya ke balai polis dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

Arahan itu turut merangkumi semua pemilik yang mempunyai senjata bagi kegunaan aktiviti rekreasi dan sukan menembak.

Kegagalan berbuat demikian sehingga tempoh berakhir pada 25 Disember ini, pemilik senjata berkenaan akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Senjata 1960.

Pengarah Jabatan Logistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, tindakan itu kerana polis perlu mengawal setiap penggunaan senjata api terutama yang menyerupai senjata asli yang berkemungkinan boleh digunakan untuk tujuan jenayah.

Katanya, tindakan itu turut dilakukan kerana siasatan mendapati terdapat peningkatan dalam pemilikan senjata api tiruan untuk tujuan sukan seperti senjata paintball marker, airsoft gun dan BB Gun.

"Alat yang boleh ditafsir sebagai senjata tiruan memerlukan lesen untuk dimiliki dan digunakan mengikut Seksyen 4 Akta Senjata 1960 dan PDRM hanya meluluskan permohonan lesen jika pemohon menepati kriteria yang ditetapkan.

"Pemilikan senjata api bertujuan untuk kegunaan sukan tanpa lesen yang sah adalah salah mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960, yang boleh membawa hukuman penjara dan denda jika disabitkan bersalah.

"PDRM memberi tempoh sebulan bermula hari ini kepada mereka yang tidak mempunyai lesen dan memiliki alat seperti senjata api supaya menyerahkan kepada polis. Selepas itu mereka boleh membuat permohonan memiliki senjata itu jika kelayakan dipenuhi," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli memberitahu, tiada individu dibenarkan memiliki senjata tiruan mahupun senjata api di negara ini kecuali pasukan keselamatan dan mereka yang diberikan lesen di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api 1960.

Katanya, dari tempoh 2012 hingga sekarang, pihak polis telah menyiasat sebanyak 47 kes membabitkan pemilikan senjata tiruan dan seramai 29 orang telah dituduh di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dengan dua daripadanya telah disabit kesalahan dan dipenjarakan selama dua bulan.

"Adalah menjadi kesalahan jika seseorang itu mengimport, memiliki dan menjaga senjata tiruan dan sekiranya disabitkan bersalah mereka boleh dikenakan hukuman penjara iaitu tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya," katanya.

Ditanya bagaimana orang ramai mahu menentukan jenis senjata tiruan, Zulkifli berkata, alat itu adalah sama atau seperti senjata asal, tidak boleh dibezakan dan boleh menimbulkan ancaman kepada orang lain.

"Senjata tiruan mengikut Akta Senjata 1960 ertinya apa-apa yang berupa untuk memberi sangkaan sebagai suatu senjata sama ada atau tidak melepaskan letusan, peluru, bedilan, cecair berbahaya, gas atau lain-lain benda. Jika pemetik api menyerupai pistol dan tidak boleh dibezakan orang lain, alat itu harus diserahkan kepada polis," katanya.

Mengulas tentang hasrat beberapa jabatan penguatkuasaan di negara ini untuk memohon senjata api bagi melancarkan tugas mereka, Zulkifli berkata, keputusan itu hanya akan diberikan Ketua Polis Negara jika terdapat permohonan.

"Jika Ketua Polis Negara menolak, pihak yang memohon boleh membuat rayuan dan hanya Menteri Dalam Negeri sahaja yang mempunyai kuasa untuk memutuskannya," katanya.

Tambah Zulkifli, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan penggunaan senjata api oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seperti yang dicadangkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, baru-baru ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment