My Add

Monday, 25 November 2013

Salahuddin, Husam kekal Naib Presiden

* SALAHUDDIN Ayub bersalaman dengan Husam Musa yang sebak setelah dipilih semula sebagai Naib Presiden Pas pada Muktamar Tahunan Pas Ke-59 di Stadium Malawati, Shah Alam semalam.
KUALA LUMPUR, AHAD, 24 November, 2013: Seperti diramalkan banyak pihak, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berjaya menempatkan diri bagi salah satu daripada tiga kerusi Naib Presiden Pas.

Kejayaan itu sekali gus 'memaksa' salah seorang penyandang iaitu Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar tersingkir.

Dua lagi penyandang iaitu bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub dan Ahli Dewan Undangan Negeri Salor Datuk Husam Musa berjaya mengekalkan kedudukan masing-masing. Salahuddin memperoleh undi terbanyak iaitu 917 undi manakala Husam mengisi slot tempat ketiga dengan 520 undi.

Keputusan pemilihan Naib Presiden Pas diumumkan hari ini oleh Pengerusi Pemilihan Asmuni Awi dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-59 di Stadium Malawati, Shah Alam - dua hari ini selepas proses pengundian diadakan melibatkan 1,129 perwakilan.

Kemenangan Tuan Ibrahim dengan menduduki tempat kedua melalui perolehan undi 849 undi sememangnya sudah dijangka apabila beliau dilihat 'bermurah hati' memberi laluan kepada Datuk Mohd.Amar Nik Abdullah mewakili golongan ulama bagi merebut kerusi Timbalan Presiden.

Bagaimanapun, Mohd. Amar ternyata tidak mampu menandingi populariti Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang terus kekal dipilih sebagai Timbalan Presiden bagi penggal kedua.

Bagi Salahuddin pula, sejak awal lagi ramai yang meramalkan beliau tidak akan menghadapi masalah untuk mengekalkan jawatan kerana dilihat pemimpin yang tidak kontroversi.

Biar pun tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 di Johor dan diuar-uarkan sebagai Menteri Besar jika pakatan pembangkang berjaya menawan negeri itu, namun reputasi Salahuddin ternyata tidak terjejas di mata ahli-ahli Pas.

Apatah lagi beliau dilihat dihormati oleh kawan dan lawan melalui pendekatan politik sederhana yang dibawanya.

Malah kemenangan itu juga ditafsirkan sebagai harapan ahli-ahli Pas untuk melihat Salahuddin terus mengemudi pakatan pembangkang bagi memenuhi impian mereka menawan Johor dalam pilihan raya umum akan datang.

Biarpun mengekalkan jawatan dengan menduduki tempat ketiga, namun kejayaan Datuk Husam Musa boleh dianggap satu tamparan kepada Pas Kelantan.

Ini memandangkan selepas pengunduran Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dari kerusi Menteri Besar, masa depan politik Husam dikatakan agak tergugat biar pun memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor. Beliau tidak dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri - jawatan yang disandangnya sejak 2004.

Pemerhati politik termasuk dalam kalangan ahli Pas melihat ada pertembungan politik beliau dengan Mohd.Amar.

Kelantangan beliau mengkritik kerajaan negeri Kelantan dalam sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini turut dikaitkan dengan pertembungan tersebut.

Bagaimanapun, ia ternyata tidak mampu mengugat peluang Husam untuk terus menduduki kerusi Naib Presiden. Perolehan sebanyak 520 undi sudah cukup membantu beliau berada pada kedudukan tersebut.

Ia juga sekali gus membolehkan Pas Kelantan mempunyai wakil bagi salah satu jawatan tertinggi dalam kepimpinan Pas pusat setelah tewasnya Mohd.Amar bagi kerusi Timbalan Presiden.

Namun begitu, apa yang lebih menarik perhatian dan menjadi perbualan ramai ialah kegagalan Mahfuz untuk menduduki kerusi Naib Presiden yang baru sepenggal disandangnya. Mahfuz menduduki tempat keempat dengan mendapat 504 undi.

Kekalahan Mahfuz ini dianggap mengejutkan ketika ramai pihak meramalkan Husam yang akan tersingkir. Tafsiran itu wujud memandangkan Mahfuz dikatakan mempunyai kelebihan dari segi rekod politik apabila berjaya mengemudi Pas Kedah mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau, dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 4 November lalu.

Tetapi ternyata kejayaan itu masih belum mampu membantu Mahfuz yang dilihat antara pemimpin paling lantang dalam Pas.

Sementara itu, kehadiran Ahli Jawatankuasa Pas pusat, Datuk Abu Bakar Chik pula bagi merebut kerusi Naib Presiden ternyata sekadar untuk 'memeriahkan' persaingan apabila beliau hanya mendapat 364 undi. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment