My Add

Saturday, 21 December 2013

290,765 ditahan kes dadah

IPOH, JUMAAT, 20 Disember, 2013: Polis Perak berjaya menahan 290,765 pesalah berkaitan dadah sejak Januari lalu dan menuduh 70 peratus daripadanya di mahkamah sehingga pertengahan bulan ini.

Deputi Komander Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, dalam tempoh tersebut pihaknya juga telah menyita harta pesalah berjumlah RM4.3 juta.

Menurut Roslan yang sebelum ini menyandang jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, perkara itu merupakan sebahagian kejayaan yang dicapainya sepanjang menerajui JSJN.

"JSJN Perak telah mencatatkan tangkapan tertinggi. Operasi bagaimanapun masih belum tamat dan JSJN kini dalam usaha mengadakan operasi 'Perkasa Pantai' membabitkan kawasan pesisir pantai antara Kerian hingga Hutan Melintang.

"Saya beri amaran kepada semua anggota supaya menjauhkan diri dari rasuah dan tidak bersekongkol dengan mana-mana pengedar kerana masyarakat sentiasa benci penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Serah Terima Tugas KJSJN Perak di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini. Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam.

Roslan yang melapor diri ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, 26 Disember ini akan melakukan tugas menangani jenayah kongsi gelap dan dadah manakala tempatnya akan dipangku sementara oleh timbalan ketua jabatan berkenaan, Suprintendan Mohd. Nasri Omar. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment