My Add

Monday, 23 December 2013

Bank Dunia yakin terhadap sektor perbankan Malaysia

KUALA LUMPUR, AHAD, 22 Disember, 2013: Bank Dunia yakin terhadap sektor perbankan Malaysia, dan berkata sektor itu kini bersedia untuk mencapai pertumbuhan selanjutnya tahun depan, dengan prospek dan keuntungan yang kukuh.

Pakar Ekonomi Kewangan Kanan, Jose de Luna Martinez, berkata Bank Dunia menganggap Malaysia sebagai satu kisah kejayaan dari segi keterangkuman kewangan dan kualiti kawalan atur dan kawalan selia perbankan.

Beliau yang juga Naib Presiden Pembangunan Sektor Kewangan dan Swasta berkata, Malaysia sedang berada di landasan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan sistem kewangan memainkan peranan penting dalam mencapai cita-cita itu.

"Sistem perbankan Malaysia telah berkembang dengan pesat dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

"Ekonomi dijangka berkembang pada kadar 4.5 hingga lima peratus pada 2014, yang akan memberi peluang bagi peluasan bank, sama ada dalam pasaran domestik mahupun serantau," katanya.

Beliau berkata, Bank Dunia yakin terhadap langkah-langkah Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menangani risiko yang bakal timbul dengan berkesan.

Malaysia menduduki tempat teratas dalam penerbitan 'Doing Business' Bank Dunia dari segi kemudahan mendapatkan kredit bagi perusahaan kecil dan sederhana.

Sementara itu, Moody's Investors Service, dalam nota terbarunya, memberikan prospek stabil kepada sistem perbankan Malaysia bagi tahun depan.

Persekitaran operasi industri diberikan penarafan stabil meskipun terdapat kebimbangan tentang pinjaman isi rumah yang semakin meningkat, katanya, sambil menambah bahawa bank-bank di negara ini tidak menghadapi banyak tekanan mudah tunai kerana kebanyakannya membiayai perniagaan masing-masing dengan menggunakan deposit.

Keuntungan juga akan kekal stabil bagi bank-bank kerana pertumbuhan pinjaman dan pendapatan daripada fi dijangka cukup kukuh untuk mengimbangi tekanan margin dalam sistem, kata agensi penarafan itu. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment