Wednesday, 25 December 2013

DAP perlu contohi MCA yang lebih demokratik

KUALA LUMPUR, SELASA, 24 Disember, 2013: DAP perlu mencontohi MCA yang lebih demokratik dan telus apabila pemilihan parti itu Sabtu lepas menyaksikan peratusan perwakilan yang memilih pucuk pimpinan mereka mencapai 98.66 peratus.

Keadaan ini berbeza dengan DAP apabila pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 29 September lalu cuma dihadiri seramai 1,731 daripada 2,576 perwakilan atau hanya mencatat 67.20 peratus.

Membangkitkan perkara itu, Bendahari Agung MIC, Datuk R. Ramanan berkata, jurang perbezaan itu sangat ketara dan mengelirukan, apatah lagi DAP sering gah mengatakan sokongan masyarakat Cina sudah condong ke arah mereka.

Dakwa Ramanan, perbezaan itu juga jelas menunjukkan realiti sebenar perwakilan DAP yang rata-rata sudah hilang keyakinan dengan pucuk kepimpinan mereka kini didominasi oleh keluarga tertentu.

"Saya sebenarnya hairan mengapa MCA boleh mencatat peratusan lebih tinggi daripada DAP yang selama ini sering bermegah dengan ketelusan dan sistem demokratik parti?

"Mengapa tidak kesemua perwakilan yang layak mengundi tidak hadir mengundi pada pemilihan parti DAP? Jangankan perwakilan, saya rasa penyokong parti itu sendiri tidak berminat dengan mereka sehingga seolah-olah tidak kisah," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Seramai 2,352 atau 98.66 peratus daripada 2,385 perwakilan MCA telah mengundi pada pemilihan untuk menentukan barisan kepemimpinan baharu MCA bagi penggal 2013-2016.

DAP pula terpaksa membuat pemilihan semula setelah diarahkan oleh ROS berikutan aduan daripada ahlinya sendiri yang mendakwa terdapat manipulasi undi.

Walaubagaimanapun, pemilihan pertama menyaksikan kehadiran sebanyak 71 peratus manakala pemilihan semula hanya dihadiri 67.22 peratus.

Ramanan turut menempelak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang sehingga hari ini masih enggan mendedahkan senarai perwakilan kepada umum atau Pendaftar Pertubuhan (ROS) atas sebab yang tidak dapat dipastikan.

"Bagaimana kita hendak kenal pasti punca mengapa perwakilan yang layak mengundi tidak hadir sekiranya Guan Eng sendiri tidak 'sanggup' menyenaraikan senarai tersebut? Mengapa maklumat ini sungguh 'rahsia' walaupun dituntut oleh ROS? ," kata beliau. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment