My Add

Saturday, 21 December 2013

Doktor HATTM didakwa lagi

* KOLONEL Dr. R. Kumasegaran (kiri) hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam untuk didakwa atas enam pertuduhan menyalah guna peralatan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.
SHAH ALAM, JUMAAT, 20 Disember, 2013: Seorang pakar patologi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) yang sebelum ini telah didakwa atas tiga pertuduhan termasuk rasuah, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini sekali lagi atas enam pertuduhan menggunakan peralatan hospital tanpa pengetahuan hospital itu, tiga tahun lalu.

Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 50, yang merupakan Ketua Makmal Patologi HATTM, Wangsa Maju dekat sini mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Kunaseegaran didakwa semasa kejadian bekerja sebagai Pengarah Makmal Clinipath (M) Sdn. Bhd. dan Pengarah Makmal Genomed Sdn. Bhd. menggunakan harta kepunyaan hospital itu antaranya alat Microtome, Microtome Rotary System dan Circular Parafin Floating Bath tanpa pengetahuan pihak hospital berkenaan.

Perbuatan itu didakwa di lakukan di No.23 dan No.26 Galeri Empire, Jalan Empayar melalui Jalan Sultan Ibrahim, Klang dekat sini pada Jun 2010 dan April 2012.

Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dipenjara sehingga lima tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anthony Kevin Morais dan Azlin Sabtu mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 tanpa penjamin manakala sebutan semula kes ditetapkan 7 Januari tahun depan.

Pada minggu lalu, Kunaseegaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan selaku penjawat awam yang melibatkan diri dalam perniagaan dalam kejadian tahun lalu.

Sebelum itu, pada 9 September lalu, lelaki itu turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan meminta dan bersetuju menerima rasuah RM700,000 daripada pemilik syarikat pembekal peralatan perubatan.

Dia didakwa meminta wang tunai itu daripada Abdul Razar Abdullah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada nombor telefon bimbit miliknya kepada nombor telefon Abdul Razar pada pukul 11.58 pagi, 29 Ogos lalu.

Suapan itu didakwa sebagai upah kerana mencadangkan tiga nama syarikat sebagai pembekal ubat-ubatan dan perkakas pakai buang untuk HATTM bagi tahun lalu.

Syarikat-syarikat tersebut ialah RAZ Medical Supplies Sdn. Bhd., B&S Enterprise dan Caremed Global Sdn. Bhd. Abdul Razar merupakan pengarah RAZ Medical Supplies dan ahli lembaga pengarah bagi kedua-dua syarikat yang lain. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment