Tuesday, 17 December 2013

ETP tarik RM220 bilion pelaburan

Oleh Norliza Abd. Rahman dan Hashnan Abdullah

PUTRAJAYA, ISNIN, 16 Disember, 2013: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sejak Program Transformasi Ekonomi (ETP) dilancarkan tiga tahun lalu nilai pelaburan yang berjaya diperoleh berjumlah RM220 bilion.

Beliau berkata, nilai pelaburan itu telah menyumbang kepada RM144 bilion bagi Pendapatan Negara Kasar (PNK), mewujudkan 435,000 peluang pekerjaan baharu dan merancakkan aktiviti ekonomi negara.

''Saya gembira mengumumkan bahawa sebanyak 195 projek sudah dilancarkan menerusi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) sejak 2010 dan kita akan mengakhiri 2013 dengan melihat kembali transformasi ekonomi negara sepanjang tempoh tiga tahun ini," katanya ketika berucap sempena tiga tahun pelaksanaan ETP di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Datuk Seri Wahid Omar; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia akan mendapatkan 13 buah syarikat multinasional untuk menempatkan operasi mereka di Kuala Lumpur tahun hadapan.

Selain itu, enam buah syarikat multinasional antarabangsa dengan perolehan minimum RM1.8 bilion juga akan menjadikan Malaysia sebagai pusat utama perniagaan mereka.

''Walaupun pasaran global yang tidak menentu, Malaysia menyasarkan mencapai antara 5 hingga 5.5 peratus PNK untuk 2014 dengan pelaburan swasta dilihat akan mengembang 12.7 peratus kepada RM153 bilion.

''Dalam pasaran kewangan pula, kita bakal menyaksikan peningkatan penyenaraian syarikat-syarikat baharu dengan modal pasaran RM18 bilion," katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia semakin menghampiri status pengangguran sifar apabila kadar pengangguran pada tahun 2009 ialah 3.5 peratus manakala 2012 menyaksikan penurunan pada kadar tiga peratus.

Menerusi ETP, keyakinan pelabur swasta terhadap inisiatif transformasi Malaysia telah berjaya merapatkan jurang antara kerajaan dan swasta dengan menyaksikan jumlah keseluruhan 65 peratus pada sembilan bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata, kutipan cukai yang semakin baik dapat membantu melaksanakan pelbagai program sosioekonomi dalam merapatkan jurang pendapatan.

''Berbalik kepada ETP, Indeks Prestasi Utama (KPI) secara keseluruhan ekoran hasil daripada Bidang Keberhasilan Ekonomi Utama Negara (NKEA) berada di atas landasan dengan pencapaian secara purata sebanyak 89 peratus sementara Inisiatif Reformasi Strategi merekodkan pencapaian 85 peratus KPI.

''Ini menunjukkan kedua-dua projek dan inisiatif berada pada landasan sebenar dan saya yakin untuk mencapai sasaran tahun ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment