![]() |
* NAJIB Tun Razak diiringi Lim Kok Thay (dua, kiri) pada pelancaran Pelan Bersepadu Pelancongan Genting (GITP) di Genting Highlands, semalam. Turut kelihatan, Jeffrey Godsick (kiri), Mohammed Hanif Omar (dua, kanan) dan Lee Choong Yan (kanan). - BERNAMA |
Perdana Menteri yakin projek transformasi Resorts World Genting bernilai RM5 bilion itu bakal menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat.
Beliau menambah, pembukaan taman tema antarabangsa 20th Century Fox pertama di dunia menerusi pelan tersebut akan turut menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan dinamik secara berterusan khususnya hiburan seisi keluarga.
"Saya lihat pelan transformasi Genting dalam segmen resort bersepadu ini sebagai permulaan kepada era baharu dalam industri pelancongan di Malaysia.
"Saya percaya semua rakyat Malaysia tertunggu-tunggu untuk melihat dimensi hiburan terbaharu yang akan ditawarkan oleh pihak Genting kepada para pengunjung mereka," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran GITP di Hotel Grand Genting di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengerusi dan Ketua Eksekutif Genting Malaysia, Tan Sri Lim Kok Thay; Timbalan Pengerusinya, Tun Mohammed Hanif Omar dan Presidennya, Datuk Seri Lee Choong Yan serta Presiden Produk Pengguna 20th Century Fox, Jeffrey Godsick.
Pelan induk 10 tahun GITP itu akan disiapkan secara berperingkat-peringkat membabitkan pembangunan, pembesaran, naik taraf hotel dan infrastruktur hotel di Resort World Genting.
Pembukaan taman tema antarabangsa pertama dunia seluas 10 hektar itu dijangka siap pada 2016 dengan kos bernilai RM1 bilion.
Di bawah pelan berkenaan itu juga, sebuah pusat beli-belah, Genting Premium Outlet iaitu kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Johor Premium Outlet, akan turut dibuka.
Menurut Perdana Menteri, inisiatif Genting Malaysia dan GITP itu contoh kepada penyertaan sektor swasta di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) ke arah meningkatkan kemasukan pelancong melalui penyediaan produk dan perkhidmatan bernilai tambah.
Kerjasama sektor swasta dalam peningkatan jumlah pelancong katanya, selari dengan Tahun Melawat Malaysia tahun depan untuk mencapai sasaran kedatangan pelancong berjumlah 28 juta dengan perbelanjaan sebanyak RM76 bilion.
"Di samping hanya memberi fokus kepada jumlah kedatangan pelancong, kita juga perlu melihat cara untuk meningkatkan jumlah perbelanjaan pelancong dengan penyediaan produk dan perkhidmatan bernilai tinggi.
"Saya berbangga menyatakan bahawa GITP telah memenuhi empat daripada 12 projek permulaan yang dikenal pasti menjangkaui lima tema untuk meningkatkan sektor pelancongan dengan penyediaan kemudahan mewah, hiburan keluarga dan pelancongan perniagaan," katanya. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment