My Add

Wednesday, 25 December 2013

Kanak-kanak meninggal didera

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL

KUALA LUMPUR, SELASA, 24 Disember, 2013: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, Nur Ain Natasyah Abdullah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dipercayai akibat didera.

Mangsa sebelum itu dihantar ke hospital berkenaan oleh ibunya, Zuraidah Jasman, 31, kerana tidak sedarkan diri sehinggalah menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan pada pukul 9 pagi ini.

Zuraidah ketika ditemui pemberita mendakwa, Nur Ain Natasyah dipercayai didera pengasuh semasa dijaga di sebuah pusat jagaan di Kuantan, Pahang.

Ujar ibu kepada lapan orang anak itu, dia mengetahui perkara tersebut daripada anak sulungnya yang menyaksikan adiknya dicampak dan dibaling pengasuh di pusat jagaan terbabit.

"Akibat kesusahan hidup, saya terpaksa menghantar lima anak saya termasuk Ain yang merupakan anak keenam dan anak sulung saya (lelaki) ke pusat jagaan itu dua tahun lalu.

"Ketika melawat mereka, anak sulung saya yang berusia 11 tahun ada memberitahu, dia nampak adiknya dicampak dan dibaling pengasuh.

''Hati ibu mana yang tidak luluh apabila mengetahui anak diperlakukan sedemikian... Jadi saya dan suami membuat keputusan untuk mengambil semula kesemua anak kami sejak Ogos lalu," dakwanya ketika ditemui di Surau Pekan Sungai Besi dekat sini petang ini.

Jelas Zuraidah, sepanjang tinggal bersama, anaknya yang bersifat periang menunjukkan sikap berbeza kerana gemar menyendiri dan tidak menghiraukan adik-beradik termasuk ketika mereka sekeluarga pergi ke Port Dickson pada Oktober lalu.

''Pada waktu itu, Ain (Nur Ain Natasyah) pertama kali diserang sawan dan kami membawanya ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, pada Sabtu lalu ketika sedang menidurkan adiknya, dia diserang sawan semula.

''Saya terpaksa meninggalkan anak yang lain untuk menghantar Ain ke hospital kerana suami bekerja pada waktu malam sebelum doktor mengatakan keadaannya kritikal berikutan oksigen tidak sampai ke otak dan meninggal dunia pagi semalam," katanya.

Menurut Zuraidah, dia sangat sedih dengan pemergian anaknya itu kerana mangsa merupakan anak kesayangannya dan berperwatakan ceria dan rapat dengan adik-beradik.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, pihaknya menerima maklumat dari hospital mengatakan mangsa tidak disedarkan diri dan mempunyai kesan dipercayai didera.

''Kita masih lagi menjalankan siasatan dan masih menunggu laporan bedah siasat daripada pihak hospital. Kertas siasatan kini dibuka berikutan terdapat kesan luka dipercayai didera pada badan mangsa.

''Kita juga akan memanggil ibu mangsa dalam masa terdekat bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment