My Add

Tuesday, 17 December 2013

Kerajaan pantau kadar inflasi negara setiap bulan

 Idris Jala
PUTRAJAYA, ISNIN, 16 Disember, 2013: Kerajaan akan memantau kadar inflasi negara se tiap bulan berikutan pelaksanaan polisi rasionalisasi ke atas subsidi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan kerajaan mengambil tindakan sewajarnya jika wujud sebarang peningkatan yang mendadak.

''Setakat ini, Bank Negara telah pun membuat taksiran berikutan pelaksanaan polisi itu dan kerajaan telah pun melihatnya.

''Taksiran itu menunjukkan ada peningkatan yang sangat kecil tetapi masih boleh dibendung," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman tiga tahun pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Selain bahan api dan gula, kadar tarif elektrik turut mengalami kenaikan berikutan pelaksanaan polisi tersebut.

Mengulas lanjut, Idris berkata, peningkatan yang sangat kecil itu disebabkan langkah kerajaan melaksanakan polisi tersebut secara berperingkat.

''Malah kerajaan juga melakukan beberapa perubahan terhadap program-program yang dikhaskan untuk membantu meringankan beban rakyat," katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu forum sempena majlis itu berkata, polisi pengurangan subsidi tersebut perlu dilakukan bagi mengelakkan peningkatan defisit dalam kewangan negara.

''Walaupun satu keputusan sukar, kalau kerajaan sedia ada tidak melakukan apa-apa perubahan, sudah pasti memberi tekanan kepada kantung negara.

''Rakyat kena faham bahawa jika tidak buat apa-apa, kita akan berhadapan dengan masalah dalam masa depan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment