Thursday, 19 December 2013

Kerajaan tubuh Makmal Mengenai Kos Sara Hidup

KUALA LUMPUR, RABU, 18 Disember, 2013: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju mewujudkan satu makmal khusus bagi mengkaji formula dan langkah susulan yang dapat membantu meringankan beban rakyat berikutan kenaikan kos sara hidup.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, Makmal Mengenai Kos Sara Hidup yang diletakkan di bawah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) itu akan mencari tindakan bagi membantu meringankan beban golongan sasaran terutamanya yang berpendapatan rendah dan golongan muda.

"Apabila saya bangkitkan perkara (kenaikan kos hidup) ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak amat prihatin dan Jemaah Menteri juga sangat terbuka kepada pandangan rakyat yang terpaksa mengalami pelbagai kenaikan kos seperti tol dan tarif elektrik.

"Kita (kerajaan) bersetuju untuk menubuhkan satu makmal khusus untuk memperhalusi semua kesan kenaikan harga dan mencari formula terbaik untuk meringankan beban rakyat daripada segi kos sara hidup," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Khairy mengulas mengenai Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri yang turut membincangkan kebimbangan rakyat terhadap pelbagai kenaikan kos termasuk tarif elektrik dan tol serta kesan gandaan terhadap harga barangan dan perkhidmatan.

Kelmarin, Khairy memberitahu isu kenaikan kos sara hidup dibangkitkan dalam Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) dan beliau wajib membawa perkara itu dalam mesyuarat Kabinet agar kepentingan setiap golongan masyarakat termasuk orang muda terpelihara.

Sementara itu, Khairy berkata, penubuhan makmal yang bermula tahun hadapan dan akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala itu menerima persetujuan sebulat suara dari seluruh anggota Kabinet.

"Perkara ini menunjukkan keseriusan kerajaan yang tidak hanya melihat kenaikan yang terpaksa dibuat mengikut perjanjian tetapi juga langkah-langkah yang mesti dilakukan untuk membantu rakyat," katanya

Katanya, makmal tersebut akan melibatkan semua peringkat lapisan masyarakat termasuk golongan akademik dan profesional bagi mendapatkan idea-idea terbaik dalam matlamat utama meringankan beban kos hidup rakyat yang kian meningkat. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment