Tuesday, 17 December 2013

Kerjasama pendidikan Malaysia-EU

KUALA LUMPUR, ISNIN, 16 Disember, 2013: Jalinan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi negara dengan Kesatuan Eropah (EU) akan diperluas kepada bidang kebolehpasaran graduan khususnya yang berkaitan dengan sains dan teknologi tinggi.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, dianggotai 28 negara, EU mempunyai prospek tinggi dalam menawarkan beberapa cabang kejuruteraan selain memiliki kepakaran dan penyelidikan terbaik serta peralatan teknologi terkini dan canggih.

"Potensi besar dapat dilihat dalam program penyelidikan dan pertukaran tenaga pengajar serta latihan industri dari EU menerusi kerjasama yang dijalin antara institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia dan universiti-universiti negara anggota EU," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebolehpasaran Graduan dan Peranan Institusi Pengajian Tinggi - Peluang dan Cabaran Abad Ke-21 di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datin Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan Duta merangkap Ketua Delegasi EU ke Malaysia, Luc Vandebon.

Persidangan sehari dihadiri kira-kira 200 peserta itu dianjurkan hasil inisiatif Projek Koordinator MYEULINK dan University of Nottingham kampus Malaysia dengan sokongan EU.

Di negara ini, kata Idris, pasaran pekerjaan masih memberi ruang dan peluang kepada lebih 80 peratus graduan tempatan apabila mereka diterima bekerja enam bulan selepas tamat pengajian sekali gus mengiktiraf pembangunan pendidikan negara.

Bagaimanapun katanya, kebolehpasaran graduan pada masa depan bergantung kepada pasaran semasa yang memerlukan modal insan yang bukan sahaja kompeten tetapi dilengkapi dengan kemahiran teknikal tinggi.

"Perlu ditekankan bahawa kebolehpasaran graduan tidak mencukupi tanpa persediaan daripada sekarang dengan menerokai bidang-bidang berteknologi tinggi yang menuntut perubahan semasa, sekali gus mengubah iklim pasaran kerja masa depan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment