Wednesday, 18 December 2013

Kes Beego: Pegawai JAIS lupa pengadu

KUALA LUMPUR, SELASA, 17 Disember, 2013: Seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan beliau sengaja tidak memaklumkan mengenai kehadiran pengadu kes khalwat pelakon dan bekas penyanyi kumpulan Phyne Ballerz, Beego di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak Timur JAIS, pada malam serbuan terhadap rumah yang didiami pelakon itu.

Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Gombak Timur JAIS, Muhammad Luqman Ramli berkata, beliau lupa untuk memaklumkan kehadiran pengadu itu dalam keterangan utamanya di mahkamah sebelum ini.

"Ketika memberi keterangan itu saya tidak ingat (pengadu), saya mohon maaf sebab tidak ingat, lagipun perkara ini sudah berlarutan sejak dua tahun lalu,'' katanya.

Beliau berkata demikian sebagai saksi pertama pihak pendakwaan semasa disoal oleh peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan dalam prosiding perbicaraan kes khalwat Beego dan dua rakannya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini hari ini.

Muhammad Luqman juga menafikan menyembunyikan fakta mengenai kehadiran pengadu semasa memberi keterangan tersebut namun beliau bersetuju bahawa fakta berkenaan adalah perkara penting.

Saksi itu juga bersetuju dengan Fakhrul Azman bahawa amat tidak munasabah apabila tidak mengingati perihal pengadu yang telah membantu menunjuk jalan ke lokasi kejadian kepada pegawai-pegawai penguat kuasa JAIS.

Beego atau nama sebenarnya, Md. Aszerul Nizam Abdullah, 33, dan dua rakannya, Fikry Zainon dan Mohd. Arsli Meor Atan Ahmad dibicarakan setelah mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat di Oakleaf Kondominium, Bukit Antarabangsa, Ampang di sini pada pukul 6 pagi, 23 Februari 2011.

Mereka didakwa berkhalwat dengan dua kenalan wanita mereka, Hadijah Mohamad Mokhar dan Azlina Yazid @ Aziz.

Azlina dan Hadijah yang berusia awal 30-an mengaku bersalah pada Mei tahun lalu atas tuduhan tersebut dan masing-masing membayar denda maksimum RM3,000 setiap seorang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 20(1)(a) bagi lelaki dan Seksyen 20(1)(b) bagi perempuan, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Pegawai Pendakwa Syarie, Noor Anisah Suyod memaklumkan, terdapat dua lagi saksi yang akan tampil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes tersebut.

Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin kemudian menetapkan perbicaraan kes itu disambung pada 18 Mac tahun depan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment