Sunday, 22 December 2013

Ketua Wanita PKR selar Guan Eng berhubung gelaran 'nenek rasis'

 Zuraida Kamaruddin
BUKIT MERTAJAM, SABTU, 21 Disember, 2013: Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin menyelar Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung gelaran 'nenek rasis' yang dilabelkan kepada Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri, Datuk Jahara Hamid.

Zuraida berkata, Guan Eng tidak wajar mengeluarkan kenyataan sedemikian terhadap Jahara yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Ayer Tawar.

"Secara dasarnya perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana kita tidak bersetuju. Guan Eng beremosi sehingga terkeluar gelaran berkenaan. Lelaki perlu faham isu gender merupakan perkara sensitif. Kita tidak pernah bagi gelaran datuk kepada pemimpin lelaki," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan Wanita PKR negeri, di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Guan Eng yang menggelar Jahara sebagai 'nenek rasis' sebelum ini kerana dikatakan cuba membangkitkan isu perkauman apabila mendakwa Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya mengambil tindakan terhadap peniaga Melayu.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, Guan Eng harus lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan pada masa depan.

Sementara itu, Zuraida meminta Kerajaan DAP Pulau Pinang supaya lebih efisien dalam menguruskan soal penjaja tidak berlesen di negeri ini yang menimbulkan rungutan.

"Kita tahu kerajaan negeri merancang pembangunan dan mahu mencantikkan negeri ini, tetapi sebelum mengeluarkan arahan supaya berhenti berniaga, mereka harus cari lokasi yang sesuai untuk menempatkan peniaga terbabit," katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan juga perlu bertolak ansur dalam hal berkenaan kerana beliau mendapat aduan daripada seorang ahli PKR yang menjalankan perniagaan makanan laut di Bayan Mutiara diarahkan menutup perniagaan, namun tidak diberikan lokasi baharu sehingga hari ini.

Jelasnya, perkara sedemikian akan menjejaskan kehidupan peniaga terlibat. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment