Kraftangan Malaysia yakin capai sasaran jualan kraf RM400 juta tahun ini
KOTA BHARU, AHAD, 22 Disember, 2013: Kraftangan Malaysia yakin mampu mencapai sasaran jualan hasil kraf tangan sebanyak RM400 juta ke seluruh negara sehingga hujung tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Kamil Mohd. Ali berkata, sehingga November ini, Kraftangan Malaysia telah mencatatkan jualan hasil kraf tangan sebanyak RM348 juta ke seluruh negara.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM90 juta adalah jualan hasil kraf tangan di Kelantan.
"Ini menunjukkan jualan hasil kraf tangan untuk tahun ini telah meningkat berbanding tahun lalu di mana kita telah mencapai jualan sebanyak RM342 juta.
"Sasaran ini mampu dicapai memandangkan Kelantan adalah antara penyumbang utama jualan hasil kraf apabila mencapai sehingga 40 peratus untuk jualan batik," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Latihan Jangka Pendek (LJP) dan Penyampaian Insentif Pembangunan Usahawan, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment