Saturday, 21 December 2013

Mahkamah tolak permohonan Alvin minta tangguh bicara

 *ALVIN Tan (kiri) dan Vivian Lee keluar dari Mahkamah Tinggi Jenayah 2, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 Diember, 2013: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee untuk menangguhkan perbicaraan kes mereka di Mahkamah Sesyen berhubung tiga dakwaan mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan.

Hakim Kamardin Hashim menolak permohonan itu selepas mendengar dan meneliti hujahan peguam Chong Joo Tian yang mewakili pasangan itu dan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Hakim itu berkata, mahkamah mendapati tiada merit dalam permohonan itu selain alasan yang dikemukakan kedua-dua pemohon itu tidak mencukupi bagi membolehkan mahkamah membenarkan penangguhan prosiding itu.

"Alasan kedua-dua pemohon, sekiranya mahkamah membenarkan perbicaraan diteruskan tanpa menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan akan memprejudiskan mereka adalah suatu yang tidak berasas.

"Dengan itu permohonan mereka ditolak dan perbicaraan di Mahkamah Sesyen akan diteruskan seperti yang dijadualkan,'' katanya.

Alvin Tan atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan pasangannya, Vivian Lee atau Lee May Ling, 24, mengemukakan permohonan menangguhkan perbicaraan di Mahkamah Sesyen sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Rayuan tersebut berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 21 November lalu yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan pertuduhan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan dengan alasan pertuduhan yang dibuat adalah sah, teratur dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Alvin Tan dan Vivian Lee didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi di sini antara pukul 9 malam, 6 Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu.

Wan Shaharuddin ketika berhujah memberitahu, permohonan penangguhan itu hanyalah untuk melengah-lengah perbicaraan sepertimana tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Mahkamah Sesyen sebelum ini telah menetapkan tarikh perbicaraan terhadap pasangan itu pada 8, 9 dan 10 Januari depan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment