My Add

Thursday, 19 December 2013

Malaysia-Indonesia kerjasama perangi jenayah transnasional

Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA

JAKARTA, RABU, 18 Disember, 2013: Komitmen Malaysia dan Indonesia untuk meningkatkan usaha mencegah dan memerangi jenayah transnasional bakal diterjemahkan esok apabila kedua-dua negara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Rundingan Tahunan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di sini.

Selain memorandum tersebut, dua lagi MoU yang turut menjadi tumpuan dalam Rundingan Tahunan kali ke-10 antara kedua-dua pemimpin itu ialah kerjasama dalam bidang belia dan sukan serta MoU mengenai pas pelajar dan visa untuk program pengajian tinggi.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, Perdana Menteri dan Presiden Indonesia juga akan membincangkan pelbagai isu dua hala termasuk jerebu, sempadan dan kunjungan antara pemimpin dan pegawai kerajaan dua negara.

Tidak ketinggalan, Najib dan Susilo pada pertemuan itu juga jelas Zahrain, akan memberi tumpuan kepada pelbagai isu serantau dan antarabangsa.

"Sewaktu mesyuarat Jawatankuasa Suruhanjaya Bersama Malaysia-Indonesia di Jakarta pada 2 Disember lalu, kedua-dua Menteri Luar bersetuju untuk mengoptimumkan hubungan kukuh yang sedia terjalin di peringkat antara kerajaan.

"Kita ingin mencari jalan agar lebih banyak aspek hubungan dua negara dapat dikembangkan bagi mencari ruang-ruang yang belum kita garap untuk membawa kerjasama dua hala Malaysia dan Indonesia ke dimensi baharu," kata Zahrain kepada wartawan Malaysia pada sidang akhbar di sini hari ini.

Perdana Menteri yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di sini lewat petang ini sempena Rundingan Tahunan dengan rakan sejawatannya, Susilo yang akan berlangsung pagi esok di Istana Merdeka. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment