My Add

Sunday, 22 December 2013

MCA perlu utama perpaduan

Oleh HUSSAINI AMRAN dan KASTHURI JEEVENDRAN

 * NAJIB Tun Razak ceria ketika berbual bersama Dr. Chua Soi Lek (kiri) dan Liow Tiong Lai ketika Perhimpunan Agung MCA Ke-60 di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, SAB TU, 21 Disember, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru kepada barisan kepemimpinan baharu MCA bagi penggal 2013-2016 agar memberi keutamaan kepada usaha menyatupadukan ahli-ahli parti.

Perdana Menteri berkata, kesemua pihak yang bertanding pada pemilihan tahun ini mesti akur dengan kehendak perwakilan dan menerima keputusan dengan hati terbuka.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memberitahu, perpecahan berlaku akibat perebutan jawatan-jawatan tertinggi parti dalam beberapa pemilihan parti sebelum ini.

"Ini membawa kepada implikasi, setiap kali ada pertandingan di atas, kita berpecah. Bila ada pertandingan, asyik berpecah. Jadi, MCA sebagai sebuah parti akan menjadi lebih kecil pengaruhnya sebab sudah berpecah dan terus berpecah.

"Oleh itu, anggaplah kali ini mungkin 'panggilan terakhir' untuk MCA. Mungkin ini isyarat panggilan terakhir daripada kaum Cina, bukan lagi 'panggilan untuk mengejutkan kita dari tidur'," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MCA Ke-60 di Dewan San Choon, Wisma MCA di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan barisan kepemimpinan MCA yang lain.

Perhimpunan Agung MCA kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan Presiden antara Tiong Lai, Naib Presiden, Gan Ping Seu dan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat setelah Soi Lek mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya.

Najib menambah, pemilihan MCA kali ini sangat penting demi masa depan parti sekali gus memberi kesan kepada kekuatan BN.

"Kita perlu ada kuasa politik dan kuasa ini akan hanya menjadi kenyataan kalau kita menentukan kepimpinan itu disenangi rakyat," jelasnya.

Selain itu, menurut beliau, MCA mesti menyusun semula strategi baharu dengan menilai segala kelemahan dan kekuatan parti.

"Strateginya adalah meyakinkan ahli-ahli MCA untuk terus melangkah ke hadapan. Kita mesti terus yakin formula perkongsian kuasa yang diamalkan BN adalah yang terbaik untuk negara ini," ujarnya.

Perdana Menteri secara berseloroh turut menyebut, MCA memerlukan 'viagra politik' bagi menaikkan semula semangat parti untuk terus berjuang.

"MCA mempunyai 'bala tentera' di medan tetapi tiada semangat, boleh minta Menteri Kesihatan ubat ini," katanya.

Beliau juga berharap MCA membina semula kekuatannya dan berusaha menjadikan parti itu sebagai pilihan kaum Cina di negara ini.

Dalam pada itu, Najib menyifatkan Soi Lek sebagai seorang ahli politik yang sangat cekal dalam mengharungi pelbagai cabaran lebih-lebih lagi ketika menerajui MCA pada saat-saat getir.

"Beliau juga seorang tokoh yang berjiwa besar kerana sanggup memberi laluan kepada muka baharu memimpin MCA walaupun didesak oleh penyokong-penyokongnya untuk terus bertanding," jelasnya.

Perdana Menteri yakin barisan kepemimpinan baharu MCA akan terus berganding bahu dengannya di dalam kerangka BN untuk membina sebuah negara yang lebih makmur dan berjaya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment