Saturday, 21 December 2013

MIDF salur RM590 juta

Oleh NUR HANANI AZMAN
 
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 Disember, 2013: Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), setakat ini telah meluluskan 285 permohonan pinjaman berjumlah RM590 juta menerusi lima skim pinjaman mudah dikendalikannya kepada usahawan dalam pelbagai sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Skim-skim ditawarkan adalah Skim Pinjaman Mudah Bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (SLSME), Skim Pinjaman Mudah Bagi Automasi dan Modenisasi (SLSAM), Skim Pinjaman Mudah Bagi Peningkatan Sektor Perkhidmatan (SLSCD), Skim Pinjaman Mudah Bagi Sektor Perkhidmatan (SLSSS) dan Skim Pinjaman Mudah Bagi Usahawan Automotif Bumiputera (SLBAE).

Ketua Bahagian Pembangunan Kewangan MIDF, Nik Izani Nik Muhamad berkata, jumlah keseluruhan pinjaman yang akan diluluskan sehingga hujung tahun 2013 dijangka mencecah RM600 juta berbanding RM396 juta pada tahun lalu.

Menurutnya, MIDF telah meluluskan 2,790 permohonan pinjaman bernilai RM2.8 bilion sejak pelancaran program-program bantuan kewangan kerajaan pada 2002, malah sebanyak 45 peratus daripada jumlah itu diluluskan kepada 718 syarikat bumiputera perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan bukan PKS dengan nilai RM1.26 bilion.

Ujarnya lagi, antara sektor utama yang menerima bantuan ialah perkilangan dan perkhidmatan di mana ia adalah sektor yang memerlukan kos perbelanjaan tinggi bagi menjalankan perniagaan.

"SLSAM misalnya bertujuan membantu usahawan terlibat memoden dan mengautomasi proses-proses pengeluaran, meningkatkan kemampuan dan kapasiti pengeluaran, mengurangkan kebergantungan kepada aktiviti berintensifkan buruh asing serta mempelbagaikan aktiviti bernilai tambah tinggi.

"Skim ini juga memberi galakan berterusan kepada pengeluar komponen dan peralatan automotif tempatan melalui pembiayaan bagi peningkatan mutu barangan eksport, produktiviti, pembelian perkakasan, pembangunan dan pengeluaran dalam memastikan komponen automotif keluaran tempatan mencapai piawai setanding produk keluaran antarabangsa," katanya pada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai kriteria utama untuk pembiayaan itu, Nik Izani berkata, setiap permohonan akan dinilai secara terperinci dari segi tahap daya maju perniagaan dan kebolehan menjana keuntungan atau aliran tunai yang sewajarnya untuk membayar balik pinjaman.

"Pemohon juga dimestikan menggunakan pembiayaan tersebut bagi tujuan mengembangkan operasi perniagaan mereka selaras dengan objektif skim pinjaman yang ditawarkan," katanya.

MIDF turut memberikan peratus margin pembiayaan tinggi iaitu sehingga 100 peratus bagi pembiayaan pembelian hartanah dan modal kerja dan sehingga 90 peratus bagi pembiayaan mesin dan peralatan.

Usahawan yang berminat untuk memohon bantuan pinjaman boleh menghubungi pihak Divisyen Pembangunan Kewangan MIDF melalui inquiry-feedback@midf.com.my dan laman web korporat www.midf.com.my atau terus menghubungi Jabatan Jualan Ibu Pejabat MIDF di talian 03-21738888. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment