My Add

Wednesday, 25 December 2013

Orang Cina makin celik - Lum Yong

Oleh KASTHURI JEEVENDRAN

KUALA LUMPUR, SELASA, 24 Disember, 2013: Rata-rata masyarakat Cina semakin celik dengan pembohongan demi pembohongan yang dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.

Presiden Pertubuhan Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong mendakwa, Guan Eng sejak akhir-akhir ini sering mengelak daripada memberi penjelasan berhubung aduan yang dibuat oleh bekas-bekas ahli DAP berkaitan pemilihan itu.

Jelasnya, Guan Eng sedar masyarakat khususnya kaum Cina sudah mulai meragui pembohongan yang telah dibuat khususnya apabila menyalahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) walaupun kesilapan adalah daripada pihaknya sendiri.

"Guan Eng seringkali mengelak untuk menjawab soalan media dan ahli-ahli parti itu sendiri kerana umum sudah celik dan muak dengan pembohongan berhubung pemilihan semula CEC DAP.

"Kita hairan mengapa Guan Eng belum memberi penjelasan mengenai 851 daripada 2,576 perwakilan tidak hadir dan mengundi semasa pemilihan semula CEC serta dari manakah datangnya 120 cawangan tambahan yang wakilnya hadir dan mengundi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, bekas Pengerusi DAP Cawangan Taman Seri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat mendakwa, beliau difahamkan DAP sengaja enggan mengemukakan keseluruhan senarai nama 2,576 orang perwakilan yang berhak hadir dan senarai 985 cawangannya atas sebab-sebab tertentu.

Menurut Lum Yong, Guan Eng menang besar pada pilihan raya lepas dengan mempergunakan undi simpati rakyat kononnya ROS cuba membatalkan pendaftaran DAP selain tidak membenarkan mereka menggunakan lambang roket.

"Guan Eng berbohong tentang isi kandungan surat ROS yang bertarikh 17 April 2013 hanya untuk mendapatkan undi simpati. Kita semua tahu semua wakil rakyat DAP bertanding atas tiket parti mereka sendiri. Lambang roket juga digunakan walaupun pada awalnya beliau berbohong apabila mendakwa ROS menganiaya mereka.

"Orang Melayu dan India sudah sedar dengan taktik Guan Eng. Masyarakat Cina juga semakin celik. Ini jugalah punca Guan Eng sering mengelak daripada berdepan dengan kemelut ini," tegasnya.

Dalam pada itu, Lum Yong turut mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang itu segera tampil membuat sidang akhbar sekiranya dakwaan-dakwaan tersebut tidak benar.

"Saya cabar Guan Eng supaya tampil secara berani dan telus, sama seperti slogan-slogan indah parti itu iaitu telus, demokratik dan amanah.

"Guan Eng harus memberi penjelasan terhadap setiap aduan yang telah dibuat kepada ROS oleh ahli-ahli parti itu sendiri yang mahukan keadilan," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment