Perhimpunan UMNO dijadikan medan perkukuh perpaduan
KOTA KINABALU, AHAD, 01 Disember, 2013: Perhimpunan Agung UMNO 2013, yang akan diadakan selama enam hari mulai esok di ibu negara, menjadi medan anggota UMNO Sabah mengukuhkan perpaduan demi pembangunan parti dan negara.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Musa Aman, yang juga Ketua Menteri Sabah, berharap perwakilan negeri akan menghayati amanat presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dan perbahasan usul pada perhimpunan itu untuk dikongsi dengan masyarakat akar umbi di kawasan masing-masing.
"Oleh kerana kita baru sahaja selesai menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan pemilihan parti, sudah tentu Perhimpunan Agung kali ini akan dijadikan medan untuk membuat post mortem dan mengatur strategi bagaimana hendak memantapkan lagi kedudukan UMNO sebagai tonggak Barisan Nasional (BN) dan memastikan kemenangan UMNO dan BN pada PRU-14 nanti.
"Inilah masanya semua ahli UMNO merapatkan kembali barisan dan memperkukuhkan semula perjuangan parti dalam memikul tanggungjawab agar UMNO dan BN terus menjadi pilihan utama rakyat Malaysia," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Musa juga berharap semua 773 perwakilan Sabah akan menilai sejauh mana transformasi politik, yang diperkenalkan Najib, yang juga Perdana Menteri, telah berjaya dilaksanakan dan mengetahui halatuju parti serta kerajaan dalam tahun mendatang. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment