My Add

Tuesday, 24 December 2013

Polis bongkar dua makmal dadah, 4 individu ditahan
GEORGE TOWN, ISNIN, 23 Disember, 2013: Pihak polis membongkar dua buah makmal memproses dadah di Seberang Perai pada Jumaat dan Sabtu lepas serta merampas kira-kira 4 kilogram heroin dan syabu bernilai kira-kira RM600,000.

Empat orang termasuk seorang wanita Thai turut ditahan di dua buah rumah teres di Simpang Ampat dan Bagan Ajam yang dijadikan makmal tersebut.

Empat buah kereta turut dirampas dalam serbuan itu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan berkata pihaknya menyerbu sebuah rumah teres di Bagan Ajam pada Sabtu dan menahan seorang lelaki berumur 58 tahun dan wanita Thailand berusia 28 tahun.

Beliau berkata di situ polis merampas 1.2 kilogram syabu dan 2.28 kilogram heroin serta pelbagai peralatan memproses dadah.

Lelaki terbabit mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan dadah dan senjata api, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek terlibat dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah untuk pasaran tempatan dan mereka direman sehingga 28 Disember ini.

Thaiveegan berkata sehari sebelum itu, pihak polis menyerbu sebuah rumah teres di Simpang Ampat dan menahan seorang lelaki serta seorang wanita yang masing-masing berusia 43 dan 55 tahun.

Beliau berkata polis turut merampas 700 gram syabu yang telah siap diproses.

Pasangan terbabit dipercayai menjalankan kegiatan memproses dadah sejak empat bulan lepas di rumah sewa itu dan kedua-dua mereka didapati positif syabu, katanya.

Mereka direman sehingga 27 Disember ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment