My Add

Monday, 23 December 2013

Rasuah: Dua warga Singapura dijel, denda RM10,000

Oleh AZIZI MAJID

JOHOR BAHRU, ISNIN, 23 Disember, 2013: Dua warga Singapura masing-masing dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini setelah mengaku bersalah memberi rasuah kepada anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) pada Oktober lalu.

Hakim, Mohamad Haldar Abdul Aziz turut memerintahkan Segaran Naidu, 58, dan Shaik Mohamed Shaik Zain, 69, dijel enam bulan lagi jika mereka gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Segaran didakwa memberikan sogokan RM100 kepada Pegawai Eksekutif Penguatkuasa SPAD Johor, Asmadi Mat sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kompaun ke atasnya kerana menggunakan kenderaan pelancong dan tiada senarai penumpang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di laluan masuk Singapura ke Malaysia, Bangunan Sultan Iskandar di sini pukul 10.35 pagi pada 18 Oktober lalu.

Sementara itu, Shaik Mohamed pula didakwa memberikan sogokan RM50 kepada Pegawai Penguatkuasa SPAD Johor, Safiuddin Badrulhisham sebagai dorongan tidak mengenakan denda ke atasnya kerana tidak memiliki lesen pengendali van pelancong yang sah daripada agensi berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di laluan keluar Malaysia ke Singapura, Bangunan Sultan Iskandar di sini pukul 11.35 pagi pada 26 Oktober lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, seorang lagi warga Singapura, Lee Mong Seng, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi sogokan S$200 kepada Pegawai Penguatkuasa SPAD Wilayah Selatan, Shahrul Effendy Mohamad sebagai dorongan tidak mengenakan notis ke atasnya kerana menjalankan perkhidmatan awam di negara ini tanpa permit yang sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di laluan keluar Malaysia ke Singapura, Bangunan Sultan Iskandar di sini pukul 11.20 pagi pada 26 Oktober lalu.

Mohamad Haldar membenarkan Mong Seng diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin rakyat tempatan dan menetapkan 19 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ridzuan Abdul Malik manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment