Rompak: Polis tahan wanita
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 Disember, 2013: Polis menahan seorang wanita tempatan bagi membantu siasatan kes cubaan rompak menggunakan senjata api di sebuah premis syarikat pinjaman wang berlesen di Batu 4, Jalan Ipoh di sini semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, wanita berusia 32 tahun itu ditahan di Jalan Ipoh di sini kira-kira pukul 8 malam iaitu beberapa jam selepas kejadian.
"Siasatan menyeluruh akan dilakukan dan wanita tersebut telah dibebaskan sebaik sahaja polis selesai mengambil keterangannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 2.45 petang semalam, lima suspek termasuk seorang wanita menyamar datang ke premis syarikat pinjaman wang berlesen tersebut kononnya untuk meminjam wang.
Bagaimanapun, salah seorang suspek bertindak melepaskan enam das tembakan ke arah premis itu selepas berang kerana pekerja premis enggan membuka pintu.
Tiada mangsa cedera dalam kejadian itu dan siasatan masih diteruskan mengikut Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 kerana cubaan merompak menggunakan senjata api. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment