My Add

Sunday, 5 January 2014

300,000 enggan diterima negara asal

Oleh MD. AZRIN ROSLY

KUCHING, SABTU, 04 Januari, 2013: Lebih 300,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) 'terperangkap' di negara ini dan tidak dapat dihantar pulang ke negara asal yang enggan menerima mereka kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jumlah tersebut merupakan baki daripada sejumlah PATI yang telah didakwa dan dihantar pulang ke negara asal dalam Operasi 6P Bersepadu sebelum ini.

Katanya, meskipun kerajaan mengetahui negara asal mereka, PATI itu tidak dapat dihantar pulang kerana negara berkenaan mahukan dokumen pengenalan untuk membuktikan kewarganegaraan kumpulan terbabit.

"Kerajaan sehubungan itu, perlu mengadakan perbincangan dengan pihak kedutaan dan wakil kerajaan negara terbabit bagi menerima kembali rakyat mereka yang datang tanpa sebarang dokumen pengenalan diri,'' katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Bantuan Kecemasan Ahli Parlimen P193 Santubong di sini hari ini.

Menurut Wan Junaidi, perbincangan itu mengambil masa yang lama sedangkan kerajaan mahu mereka dihantar balik secepat mungkin kerana masalah PATI termasuk yang ditahan di depot tahanan amat membebankan negara.

"Setiap hari kita terpaksa memberi makan, memberi layanan dan perkhidmatan kesihatan kepada mereka," katanya.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr. Abdul Rahman Junaidi.

Wan Junaidi berkata, PATI yang terperangkap itu juga sebahagiannya masih bekerja dengan majikan masing-masing dalam pelbagai sektor sementara menunggu siasatan dan tindakan lanjut.

Tambahnya, kerajaan juga terpaksa menanggung hampir RM500,000 setiap hari bagi menjaga kebajikan PATI di 13 depot tahanan Imigresen yang dapat menampung kira-kira 6,500 orang di seluruh negara.

"Setakat November lalu, kerajaan juga telah menanggung kira-kira RM2.9 juta bagi proses penghantaran PATI berkenaan. Kita terpaksa menanggung sebanyak RM75 sehari bagi seorang PATI di depot," jelas beliau

Dalam pada itu, Wan Junaidi berharap laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung PATI di Sabah dijadikan asas membentuk kaedah lebih berkesan dalam menyelesaikan masalah pendatang yang tidak dapat dihantar balik.

Mengulas tentang bantuan kecemasan yang diserahkan hari ini, Wan Junaidi berkata, sebanyak 58 orang termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerima sumbangan berkenaan.

"Jumlah keseluruhan bantuan ialah sebanyak RM76,680 iaitu 23 orang menerima bantuan pendidikan, 11 orang rawatan pesakit kronik dan tiga orang bagi mangsa bencana alam. Sebanyak 21 NGO pula menerima peruntukan untuk Projek Kecil Luar Bandar," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment