Wednesday, 8 January 2014

Ahli Parlimen DAP sifatkan serbuan tindakan politik

SHAH ALAM, SELASA, 07 Januari, 2014: Ahli Parlimen Klang daripada DAP, Charles Santiago menyifatkan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas premis Persatuan Bible Malaysia dan merampas 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah Allah di Petaling Jaya, Khamis lalu bermotifkan politik.

Sambil menyatakan tindakan tersebut tidak wajar, beliau menganggap serbuan itu bukanlah cara sesuai yang boleh digunakan JAIS dalam melaksanakan penguatkuasaan berhubung larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di Selangor.

"Yang kita bincang (perkatakan) sekarang ialah mengapa (JAIS) serbu. Jika ada aduan, aduan itu aduan siapa? Adakah serbuan itu adalah satu cara untuk menyiasat.

"Sebenarnya, isu ini dihangatkan kerana serbuan itu. Jadi, serbuan itu adalah bermotifkan politik serta tidak mengikut arahan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan sendiri (mengenai penyelesaian 10 perkara berkaitan penganut Kristian) sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Sallehen Mukhyi di sini hari ini.

Hadir sama dalam perjumpaan itu ialah Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Xavier Jayakumar.

Pada masa sama, Charles menyatakan isu serbuan JAIS ke atas persatuan berkenaan tidak perlu timbul apabila beliau memberikan alasan bahawa Kerajaan Pusat pada tahun 2011 telah mengeluarkan penyelesaian 10 perkara yang berkaitan dengan penganut Kristian termasuk Bible.

Menurutnya, berdasarkan penyelesaian itu, Kerajaan Pusat dikatakan membenarkan naskhah Bible dalam semua bahasa termasuk bahasa Melayu dan Indonesia boleh diimport, dicetak dan diedarkan di Semenanjung Malaysia. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment