Monday, 6 January 2014

Ambil tindakan tegas ke atas Andrew

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

Syamsul Baharin
KUALA LUMPUR, AHAD, 05 Januari, 2013: Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew perlu dikenakan tindakan tegas kerana mencabar titah Sultan Selangor, Sultan Sultan Sharafuddin Idris Shah dan keputusan Mahkamah Rayuan apabila bertegas mahu menggunakan kalimah Allah di dalam semua gereja Katolik di Selangor.

Beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam berpendapat, umat Islam tidak memerlukan permohonan maaf daripada paderi tersebut kerana dia telah melanggar prinsip Rukun Negara apabila menderhaka kepada raja dan menghina mahkamah.

Presiden Pertubuhan Persahabatan Malaysia (Sahabat), Syed Husain Syed Mansur Al-Shabab berkata, sebagai rakyat negara ini, Lawrence perlu taat setia kepada negara dan pemerintahan Islam di Malaysia.

"Setiap orang mesti ada syarat-syarat tertentu menjadi warganegara. Dia telah melanggar prinsip kedua dan keempat Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara serta kedaulatan undang-undang.

"Jika beginilah kelakuan dia, Majlis Raja-Raja Melayu boleh mengenakan satu hukuman lebih serius termasuk perintah kediaman terhad atau dilarang bercakap dalam isu kalimah Allah atau dilucutkan taraf kewarganegaraan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Syed Husain juga menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan Iban mengandungi kalimah Allah di Petaling Jaya, Khamis lalu kerana mana-mana pemerintahan negara Islam akan berbuat demikian.

"Ini bukan pelanggaran isu perkauman atau sensitiviti agama kerana menjadi tanggungjawab mana-mana pemerintahan negara Islam di dunia ini untuk mengambil tindakan terhadap penggunaan kalimah Allah yang salah.

"Andrew perlu cari alternatif untuk menggantikan nama tuhannya selain Allah kerana Allah di mana-mana negara termasuk di Arab sekali pun merujuk kepada tuhan umat Islam," katanya sambil mendakwa paderi itu telah mencabar umat Islam di seluruh dunia dengan tindakannya itu.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Pertubuhan Ayahanda Penasihat Insan Malaysia (PAPIM) Kinta, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi menegaskan, umat Islam tidak memerlukan individu seperti Andrew meminta maaf kepada mereka atau Sultan Selangor kerana sudah tiba masanya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.

"Kalau perlu ditangkap dan dipenjarakan, buatlah kerana orang seperti Andrew cuma mewakili minoriti sedangkan majoriti rakyat negara ini mahu hidup aman dan tidak mahu berlaku krisis agama.

"Selama ini orang Islam di Malaysia begitu menghormati agama lain sehingga rumah-rumah ibadat mereka boleh dibina sebegitu besar. Mereka boleh jalankan aktiviti keagamaan mereka tetapi mesti hormat orang Melayu dan Islam kerana agama rasmi Persekutuan," tegas beliau.

Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Malaysia, Jamaludin Yusof pula meminta parti politik yang menjadi dalang kepada serangan terhadap umat Islam di negara ini supaya tidak terus mengapi-apikan sentimen keagamaan kerana bimbang kelak boleh tercetus rusuhan agama dan kaum.

Katanya, kalimah Allah adalah hak umat Islam dan semestinya mereka akan mempertahankannya daripada dicemari oleh agama lain.

"Islam tidak pernah mengganggu hak agama lain. Jadi saya harap pihak pemimpin Kristian memahami perkara ini demi menjaga keharmonian hidup di Malaysia," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment