My Add

Monday, 20 January 2014

Anifah nafi Malaysia pengaruhi Jepun halang kemasukan Anwar

KUALA LUMPUR, ISNIN, 20 Januari, 2014: Kerajaan Malaysia tidak ada kena mengena dengan keputusan kerajaan Jepun menghalang pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, setiap negara mempunyai hak kedaulatan untuk menghalang sesiapa sahaja yang mereka fikirkan tidak diingini daripada memasuki negara mereka atas apa jua sebab.

"Dan selalunya, mereka tidak perlu memberi penjelasan mengenai keputusan yang diambil itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kenyataannya semalam, Anwar berkata, beliau dihalang memasuki Jepun sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada 6.45 pagi Ahad dan diminta menaiki pesawat pertama yang berlepas pulang atau menghadapi tindakan pengusiran.

Anifah menyifatkan dakwaan ’ada tangan tersembunyi’ yang mungkin memainkan peranan dalam keputusan kerajaan Jepun itu sebagai sesuatu “yang tidak masuk akal" kerana sepanjang pengetahuannya, beliau tidak mempunyai kedudukan untuk mempengaruhi negara seperti Jepun supaya menyekat mana-mana individu daripada memasuki negara itu. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment