Atlet paralimpik pamer peningkatan walau tidak capai sasaran
NAYPYITAW, ISNIN, 20 Januari, 2014: Walaupun gagal mencapai sasaran 50 pingat emas, atlet paralimpik negara mempamerkan peningkatan prestasi di temasya Sukan Para Asean ketujuh di sini, kata Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Abdul Jalil Abdullah.
Mengikut catatan tidak rasmi MSN, kontinjen negara menamatkan saingan lima hari di sini dengan mengumpul 49 pingat emas, 50 perak dan 36 gangsa.
"Walaupun sasaran kita kurang hanya satu pingat, ia bukanlah menunjukkan kemerosotan atlet kita di sini. Sebaliknya, pencapaian mereka amat membanggakan.
"Kebanyakan atlet yang membawa cabaran negara di sini bukanlah atlet sepenuh masa yang berpusat di MSN. Kita juga mengetengahkan lebih ramai atlet-atlet muda di sini dan pencapaian mereka amat membanggakan," kata Abdul Jalil pada sidang akhbar merumus pencapaian atlet di temasya dwitahunan itu.
Turut hadir ketua kontinjen negara ke Sukan Para Asean Myanmar Datuk Zakaria Musa.
Skuad olahraga menjadi penyumbang pingat terbanyak Malaysia dengan 36 pingat emas, melepasi sasaran awal mereka iaitu 32 pingat emas.
Malaysia turut meraih pingat emas melalui acara renang dengan enam pingat emas, manakala ping-pong satu pingat emas. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment