My Add

Thursday, 9 January 2014

Belanja IT dijangka RM69.8 bilion

 
KUALA LUMPUR, RABU, 08 Januari, 2014: Jumlah perbelanjaan teknologi maklumat (IT) di Malaysia dijangka berkembang 10.2 peratus bagi mencecah hampir RM69.8 bilion pada tahun.

Dari segi rantau Asia Pasifik pula, perbelanjaan IT dijangka mencapai AS$758 bilion (RM2.5 trilion) pada tahun 2014, naik 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut penyelidikan daripada syarikat teknologi maklumat terkemuka dunia, Gartner Inc., pertumbuhan tersebut adalah sedikit lebih rendah daripada yang direkodkan pada tahun 2013 iaitu 4.7 peratus.

Bagaimanapun Gartner dalam kenyataannya hari ini menjelaskan, perbelanjaan IT di seluruh dunia diunjurkan meningkat sebanyak 3.1 peratus menjadikannya berjumlah AS$3.7 trilion (RM12.1 trilion) pada tahun 2014.

Menurut Pengurus Naib Presiden Gartner, Richard Gordon, pada tahun 2013, pasaran mengalami pertumbuhan sebanyak 0.4 peratus sepanjang tahun.

"Perbelanjaan peranti termasuk komputer peribadi (PC), ultramobiles, telefon mudah alih dan tablet menguncup 1.2 peratus pada 2013, tetapi dijangka berkembang 4.3 peratus pada tahun ini," ujarnya.

Jelasnya, pertumbuhan perbelanjaan bagi perisian syarikat (Enterprise Software) dijangka akan terus mengukuh dengan jangkaan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 6.8 peratus.

Pada suku lepas, Gartner meramalkan pertumbuhan perbelanjaan IT adalah 3.6 peratus, 0.5 peratus lebih tinggi daripada ramalan semasa.

Satu semakan terhadap unjuran pertumbuhan dalam segmen pembekal perkhidmatan telekomunikasi yang menyumbang lebih daripada 40 peratus jumlah perbelanjaan IT mendapati penurunan sebanyak 0.7 peratus berikutan pertambahan jumlah penggunaan alat telekomunikasi tanpa wayar serta persaingan harga dalam kalangan pembekal perkhidmatan komunikasi.

Tambahnya, unjuran perbelanjaan bagi pusat sistem data juga dikurangkan kepada 2.6 peratus berbanding jangkaan sebelumnya pada suku lepas, bagaimanapun Gartner yakin pertumbuhan tahunan yang konsisten antara empat hingga lima peratus sehingga 2017. -  UTUSAN 

No comments:

Post a Comment