Sunday, 19 January 2014

Berlian RM5.2j dipercayai dijual di luar negara

KUALA LUMPUR, SABTU, 18 Januari, 2014: Siasatan polis percaya cincin berlian berharga RM5.2 juta yang dicuri oleh sekumpulan warga China termasuk seorang kanak-kanak di sebuah galeri jualan barang kemas eksklusif di Bukit Bintang, kelmarin adalah untuk pasaran luar negara.

Sumber berkata, ini berikutan berlian yang dikenali sebagai Yellow Diamond itu bernilai tinggi dan sukar untuk mendapatkan pembelinya di sini.

Katanya, polis juga tidak menolak kemungkinan kumpulan itu pernah melakukan jenayah tersebut di luar negara.

"Oleh itu tidak mustahil mereka mempunyai rangkaian pembeli di luar negara yang sanggup membeli barang kemas bernilai tinggi seperti itu.

"Kita percaya berlian itu masih berada dalam simpanan mereka dan menunggu masa sahaja untuk diserahkan kepada pembeli.

"Selain berisiko tinggi untuk berurus niaga di dalam negara, potensi pembeli di Malaysia juga rendah kerana harganya mencecah jutaan ringgit," kata sumber itu kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sumber itu memberitahu, pihak polis giat mengesan suspek dan percaya mereka masih berada di negara ini dan menunggu masa untuk keluar.

"Polis masih tidak mengesan hotel penginapan mereka meskipun telah mengedarkan gambar kesemua suspek.

"Sekalipun mereka bergerak atau berpindah dari satu tempat ke satu tempat, kita percaya mereka ini akan ditangkap juga kerana perlu keluar dari negara ini," katanya yang memberitahu, polis telah mengawal ketat pintu masuk negara sejak kelmarin.

Dalam kejadian itu, sebentuk cincin Yellow Diamond bernilai RM5.2 juta (AS$700,000) dilaporkan telah dicuri seorang kanak-kanak perempuan di sebuah galeri jualan barang kemas eksklusif di Bukit Bintang di sini.

Kumpulan yang terdiri daripada seorang lelaki, tiga wanita termasuk seorang yang sedang sarat mengandung serta seorang kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan 12 tahun yang disyaki mencuri berlian bernilai itu dipercayai merupakan pencuri profesional dan mahir dalam aktiviti jenayah berkenaan.

Galeri yang berpangkalan di London itu baru dibuka November lalu dan berdasarkan rekod, barangan kemas yang dipamerkan bernilai tinggi serta menjadi pilihan golongan orang kenamaan termasuk mendiang Puteri Diana dan isteri Putera William, Kate Middleton. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment