Tuesday, 7 January 2014

Cadangan DAP pinda Enakmen Agama Bukan Islam gopoh - Pas

KUALA LUMPUR, ISNIN, 06 Januari, 2013: Pas menyifatkan cadangan wakil rakyat DAP untuk meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor 1988 sebagai perbuatan tergopoh-gapah yang tidak mewakili pandangan pakatan pembangkang.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, walaupun DAP berhak menyatakan pandangan mereka, namun cadangan untuk meminda enakmen tersebut sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu.

"Pindaan itu bidang kuasa kerajaan negeri...Apa (cadangan) yang dipinda, kita pun tak tahu.

"Tetapi saya penuh percaya Menteri Besar dan Exco Agama akan ambil langkah bijaksana, saya ucapkan tahniah Exco agama negeri mengambil pendirian untuk mengadakan perjumpaan dengan semua pihak termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan gereja," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mahfuz berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan perlu menentukan pendirian sama ada kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut Kristian atau tidak, memandangkan kalimah yang sama boleh digunakan oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, sebuah jawatankuasa kaukus di peringkat Parlimen perlu ditubuhkan untuk membincangkan isu tersebut dan isu kenaikan harga barang.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad pula berkata, pendirian Pas melalui Majlis Syura adalah jelas mengenai penggunaan kalimah Allah, iaitu mengizinkan bukan Islam menggunakannya tetapi tidak boleh disalahgunakan.

Menurutnya, pakatan pembangkang akan mengadakan perbincangan segera tentang isu tersebut dan ia perlu diambil dengan langkah lebih berdiplomasi manakala sebarang keputusan mesti dibuat secara persetujuan bersama. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment