Ceramah Pas 'bunuh penjanaan pemikiran' - Khalid
KUALA LUMPUR, RABU, 01 Januari, 2013: Aktivis pembangkang, Khalid Mohd. Ismath menyifatkan majlis ceramah agama anjuran Pas di masjid sebagai aktiviti yang 'membunuh penjanaan pemikiran' generasi muda di dalam parti itu.
Sebaliknya, dia berkata, penyertaan ahli Pas dalam perhimpunan haram di Dataran Merdeka tengah malam tadi merupakan langkah awal kepada kejayaan mengubah corak pemikiran pemimpin Pas yang selama ini disempitkan oleh anasir jumud kepada anasir pemikiran liberal.
Khalid turut mengucapkan tahniah kepada dua pemimpin Pas kerana mengajak ahli parti itu ke perhimpunan haram berkenaan dan bukannya ke ceramah agama.
"Sambutan tahun baharu kini lebih meriah dengan penglibatan parti Islam itu di majlis punkies dan grungies dan bukan lagi di ceramah yang membunuh penjanaan pemikiran.
"Tahniah berulang kali buat Ketua Pemuda dan Naib Presidennya. Harap Dewan Ulama segera ambil peduli ke arah perubahan," katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook miliknya hari ini.
Antara pemimpin Pas yang dilihat menghadiri Himpunan Guling Kerajaan malam tadi ialah Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub; Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kaiat; Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad dan Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Perak, Khairil Nizam Khairuddin.
Katanya, Pas juga telah meninggalkan cara lama iaitu mengedarkan risalah dan menganjurkan ceramah agama sempena tahun baharu.
Sementara itu, Khalid dalam kenyataan menerusi Facebook semalam turut memperlekeh penceramah bebas, Azhar Idrus.
"Ketika kawan-kawan kita sedang bermati-matian di dataran, apa hukumnya kita yang tidak berjuang bersama bergelak ketawa mendengar ceramah agama yang penuh unsur gelak tawa?
"Pilih. Sama ada nak Azhar Idrus yang buat lawak sia-sia atau berjuang bersama Pemuda Pas dan kawan-kawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta punk dan skinhead," ujarnya.
Semalam, Azhar menyampaikan ceramah dalam majlis Sembang Ambang 2014 di Padang Majlis Bandaran Butterworth, Pulau Pinang. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment