My Add

Tuesday, 14 January 2014

Hasrat sambut Maulidur Rasul tidak kesampaian

 * KEADAAN kereta yang dipandu oleh Mohd. Shahir Sapiai selepas terbabas dan merempuh pembahagi jalan di KM273.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Ipoh yang meragut nyawa isterinya, Kamarusolahiah Kamaruddin, semalam.
IPOH, ISNIN, 13 Januari, 2013: Hasrat sepasang suami isteri yang baru berkahwin dua bulan lalu untuk menyambut Maulidur Rasul bersama 13 lagi ahli keluarga mereka di Jakarta, Indonesia esok tidak kesampaian apabila si isteri maut selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di sini pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira pukul 5.30 pagi di Kilometer 273.2 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah Selatan) itu, Kamarusolahiah Kamaruddin, 29, yang duduk di bahagian tempat duduk penumpang maut manakala suaminya, Mohd. Shahir Sapiai, 37, yang memandu kereta Proton Perdana cedera parah.

Kemalangan itu berlaku ketika pasangan berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Ketil, Kedah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk berjumpa ahli keluarga yang lain sebelum mereka menaiki penerbangan ke Jakarta yang dijadualkan berlepas pada kira-kira pukul 11.30 pagi ini.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Supritendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Mohd. Shahir, seorang peniaga dipercayai terbabas ke pembahagi jalan di kawasan tersebut.

"Akibat rempuhan yang kuat, pemandu telah cedera parah di kepala manakala penumpang pula maut.

"Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hopital Raja Permaisuri Bainon (HRPB) untuk rawatan lanjut sementara mayat isterinya yang bekerja sebagai kerani pula telah dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun serta denda sehingga RM20,000 selain lesen memandu digantung.

"Siasatan lanjut berkenaan kemalangan itu sedang dijalankan. Setakat ini Mohd. Shahir masih berada di Zon Kritikal HRPB dan tiada sesiapa dibenarkan berjumpa dengannya," katanya.

Sementara itu, ibu Mohd. Shahir, Saariah Yaacob, 60, berkata, dia terkejut selepas beberapa kali menelefon anak akhirnya panggilan dijawab seorang anggota polis yang meminta saya segera datang ke hospital.

Saariah berkata, beliau bersama anak dan menantunya serta 12 lagi anggota keluarga mereka telah merancang untuk ke Jakarta dengan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira pukul 11.30 pagi ini untuk menyambut Maulidur Rasul, esok.

Beliau berkata, Mohd. Shahir dan Kamarusolahiah telah bertolak ke KLIA dari rumahnya di Kuala Ketil, Kedah pada pukul 3 pagi ini kerana mereka menempah tiket dari sana.

"Saya bersama lima lagi ahli keluarga kami pula sepatutnya naik kapal terbang dari Pulau Pinang ke KLIA pada pukul 9 pagi manakala tujuh lagi ahli keluarga lain sedia menunggu kami di sana.

"Namun, hati saya tidak berapa sedap kerana Shahir langsung tidak menelefon kami.

"Sebelum menaiki kapal terbang, saya cuba menghubunginya beberapa kali dan akhirnya panggilan saya dijawab seorang anggota polis," kata Saariah ketika ditemui di luar Bilik Mayat HRPB di sini hari ini.

Menurut Saariah, menantunya amat teruja untuk menyambut Maulidur Rasul di Jakarta kerana baru pertama kali berpeluang ke sana, manakala anak saya pula sudah biasa ke sana kerana dia dahulu memang belajar di Jakarta. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment