Sunday, 19 January 2014

Jangan cari jalan mudah - Najib

Oleh NAZARUDIN SHAHARI dan FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
 
 * NAJIB Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor bersama para penerima anugerah serta tokoh dalam Majlis Perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan di Dataran Senawang, Negeri Sembilan, semalam. Turut kelihatan Hasan Malek (barisan kedua, tengah) dan di kirinya, Mohamad Hasan. - MINGGUAN/ABD. RAZAK AID
SEREMBAN, SABTU, 18 Januari, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada semua penjaja dan peniaga kecil supaya tidak menyewakan premis perniagaan mereka yang disediakan kerajaan kepada orang lain terutama warga asing.

Katanya, mereka yang diberi peluang itu mesti bertanggungjawab dengan menjalankan sendiri perniagaan terutamanya yang mendapat bantuan daripada kerajaan.

"Kalau premis itu disediakan untuk penjaja kita, jangan sekali-kali diberi kepada orang lain terutama sekali warga asing untuk berniaga.

"Saya pantang sekali, kalau saya dengar, kalau ada kawasan premis perniagaan yang sangat baik tapi bila kita pergi sana, kita dengar bahasa (yang digunakan oleh peniaga di situ) lain.

"Sebab kita sediakan peluang ini untuk penjaja dan peniaga kita dan mereka mestilah bertanggungjawab, jangan cari jalan mudah mahu dapat sewa daripada orang lain.

"Jangan cari jalan mudah untuk mendapatkan sewa daripada orang lain. Ini bukan jenis peniaga yang kita ingin jadikan sebagai contoh," katanya ketika merasmikan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan di Dataran Senawang di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Datuk Ramli Norani.

Perdana Menteri memberitahu, kerajaan mahu para penjaja dan peniaga kecil mengamalkan sikap tidak mengenal erti putus asa dan sentiasa mencari jalan untuk maju ke hadapan.

Menurut beliau, bagi memajukan golongan itu, mereka patut diberikan pertolongan, bantuan dan bimbingan oleh kerajaan supaya tidak terus berada pada takuk lama.

"Dari semasa ke semasa, saya ingin lihat ada pergerakan, kemajuan dan peningkatan yang ditunjukkan oleh penjaja dan peniaga kecil ini," katanya.

Dalam ucapannya itu, Najib turut mengumumkan penubuhan Skim Bazar Ramadan bertujuan membantu peniaga kecil mendapatkan pinjaman tanpa faedah.

Beliau berkata, kerajaan sedar ramai orang yang ingin berniaga pada bulan berkenaan tetapi menghadapi masalah modal.

"Kerajaan secara prinsipnya bersetuju untuk melaksanakan skim ini. Butiran terperinci mengenainya akan diumumkan pada Jun ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment