Laksana 109 pelaburan RM58 bilion
KUALA LUMPUR, ISNIN, 20 Januari, 2014: Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) telah melaksanakan sejumlah 109 pelaburan dalam tempoh sembilan tahun bermula 2004 dengan nilai RM58.1 bilion dan 61 aktiviti pelupusan bernilai RM37.2 bilion.
Pelaksanaan pelaburan dan pelupusan itu telah menghasilkan keuntungan sebanyak RM16.4 bilion.
Pada 2013, Khazanah telah melaksanakan sebanyak 14 pelaburan bernilai RM6.7 bilion dan enam pelupusan dengan untung sebanyak RM682 juta.
Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokthar berkata, tahun 2013 merupakan tahun yang sarat dengan pencapaian membanggakan buat Khazanah termasuk prestasi operasi yang lebih baik oleh hampir semua syarikat yang dikuasainya.
Malah, terdapat penembusan pasaran serantau oleh syarikat-syarikat pegangannya termasuk IHH Healthcare Bhd.
"Berlaku kemajuan projek-projek pemangkin di Iskandar Malaysia serta pelaburan bersama di Singapura, kemudahan pelaburan masuk dalam negara, pelaksanaan terus program transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang kini dalam tahun kesembilan serta menyokong inisiatif utama negara di bawah Program Transformasi Negara,'' katanya.
Tambah Azman, sepanjang tempoh transformasi sejak 2004, Khazanah telah berjaya mengisytiharkan dan pembayaran dividen berjumlah RM6.5 bilion.
Jumlah tersebut adalah 19 kali lebih besar berbanding RM335 juta yang telah dibayar dalam tempoh 10 tahun pertama operasi Khazanah sejak ditubuhkan pada 1994.
"Secara keseluruhannya, dividen dan cukai yang dibayar dalam tempoh 10 tahun sejak 2004 berjumlah RM7.8 bilion iaitu 10.9 kali lebih tinggi daripada RM718 juta yang dibayar dalam 10 tahun sebelumnya,'' ujarnya.
Jelas Azman, Khazanah juga terus aktif dalam agenda tanggungjawab korporat melalui lima bidang teras iaitu pendidikan, pembangunan masyarakat, alam sekitar, seni; warisan dan budaya serta pengetahuan.
Sejak 2006, katanya, Khazanah telah menyumbang RM336 juta bagi menyokong pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment