Saturday, 18 January 2014

Lambang perpaduan kaum

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan SOFIAN BAHAROM
 
 * NAJIB Tun Razak melambai tangan ke arah orang ramai ketika menghadiri sambutan Hari Thaipusam di Batu Caves, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Roy Azis Abd Aziz
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Januari, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai puluhan ribu rakyat pelbagai kaum selama kira-kira dua jam bagi menyaksikan keunikan masyarakat India menyambut Thaipusam di Batu Caves di sini.

Beliau yang setiap tahun hadir menyaksikan sambutan Thaipusam sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 2009, tiba pada pukul 10.15 pagi dengan mengenakan pakaian tradisi India iaitu 'kurta' berwarna krim.

Sebaik sahaja tiba, Perdana Menteri terus melawat gerai jualan yang terdapat di pekarangan kuil serta sempat beramah-mesra dengan para pengunjung sebelum dibawa masuk ke bangunan Kuil Sri Subramaniar Swamy.

Terdahulu, kehadiran beliau disambut Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Naib Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan serta Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Kuil Sri Maha Mariamman, Datuk R. Nadarajah.

Selain itu, Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu; Naib Presiden Gerakan, Datuk A. Kohilan Pilay serta Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan turut menyambut Najib.

Thaipusam merupakan perayaan untuk menunaikan nazar bagi penganut Hindu dan keunikan yang terdapat dalam sambutan tersebut terutamanya 'kavadi' menjadikan Thaipusam sebagai tarikan pelancongan.

Malah, pada setiap sambutan Thaipusam, tidak kurang daripada 70,000 pengunjung yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum termasuk pelancong asing akan membanjiri Batu Caves.

Dalam pada itu, Kamalanathan ketika ditemui pemberita selepas Najib beredar berkata, Perdana Menteri melahirkan rasa kagum dengan sambutan puluhan ribu rakyat negara ini setiap kali perayaan Thaipusam berlangsung.

Katanya, Perdana Menteri juga gembira dengan perpaduan yang terjalin dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, lebih-lebih lagi Thaipusam pada kali ini disambut sebaik sahaja kerajaan melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2014. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment