Sunday, 5 January 2014

Monyet belanda dipilih maskot TMMB 2014

 * ORANG ramai tertarik melihat maskot monyet belanda dalam perasmian TMM 2014 di Dataran Merdeka, malam tadi.
KUALA LUMPUR, SABTU, 04 Januari, 2013" Monyet belanda (Proboscis Monkey) yang hanya boleh ditemui di negara ini dipilih sebagai maskot Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Pengumuman maskot itu dibuat oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika berucap dalam majlis perasmian TMM 2014 yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Merdeka malam ini.

Menurut beliau, monyet belanda yang hidup dalam hutan Borneo diibaratkan sebagai spesies haiwan etnik Malaysia.

"Kita juga berharap pemilihan monyet belanda sebagai maskot akan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pemuliharaan hidupan liar dan alam sekitar," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri memberitahu, prestasi menggalakkan industri pelancongan negara merangsang usaha kerajaan untuk memajukan sektor berkenaan.

Beliau menambah, kerajaan juga berhasrat ingin menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di dunia.

"Dalam masa sama, kita perlu berganding bahu sebagai tuan rumah bagi meraikan tetamu-tetamu dari luar negara.

"Kita seharusnya menjamin keyakinan pengunjung dengan memberi kualiti perkhidmatan yang terbaik," ujarnya.

Mohamed Nazri memberitahu, langkah itu pasti meningkatkan imej negara sekali gus memikat hati pelancong asing untuk mengunjungi negara ini semula. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment