Friday, 17 January 2014

Najib arah KPDNKK bertindak

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
 * NAJIB Tun Razak bersalaman dengan orang ramai ketika menghadiri majlis Makan Malam Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) bersama Perdana Menteri di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, malam tadi. - UTUSAN/KAMAL BASIR
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 16 Januati, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengambil tindakan tegas ke atas peniaga yang bertindak menaikkan harga secara melampau.

Jelas Perdana Menteri, tindakan tegas itu perlu diambil segera bagi memastikan rakyat tidak menjadi mangsa sikap tidak bertanggungjawab para peniaga yang hanya tahu mengambil kesempatan di sebalik kenaikan beberapa harga barang.

Pada masa yang sama beliau juga meminta rakyat menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan kuasa mereka sebagai pengguna untuk tidak membeli barangan atau makanan di kedai yang menaikkan harga sesuka hati, sebagai tanda memberi tekanan.

"Saya telah arahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menggunakan apa sahaja akta yang ada kerana kita tidak mahu rakyat berasa tidak selesa. Kalau ada peniaga yang cuba mengambil kesempatan secara tidak bertanggungjawab, keluarkan surat (saman) dengan segera.

"Kita faham soal mahu meraih keuntungan tetapi kadar harga mesti munasabah dan bukan dinaikkan secara keterlaluan," katanya semasa berucap dalam majlis Makan Malam Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) di sini malam ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Presiden Kimma, Senator Datuk Syed Ibrahim Kader dan Pengerusi Koperasi Kimma (Kopkimma), Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Nizam.

Sempena majlis itu, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Kopkimma dengan Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) bagi membuka cawangan perniagaan gadaian emas Ar-Rahnu di Jalan Masjid India di sini.

Selain itu pelbagai anugerah juga disampaikan Perdana Menteri kepada pemimpin Kimma dan antara yang menerima anugerah tersebut ialah Timbalan Pengerusi Kimma Wilayah Persekutuan, Abdul Malik Dasthigeer, selaku usahawan muda contoh.

Dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang secara sengaja bertindak mempersendakan penjelasannya ketika beliau menjadikan harga kangkung yang tidak naik harga.

"Saya ambil contoh kangkung kerana ia sayur yang semua rakyat makan. Bukan saya tidak boleh bagi contoh lain tapi kalau saya jadikan harga burung puyuh tidak semua rakyat makan burung puyuh. Tetapi ada pihak yang sengaja mempersenda (kenyataan saya)," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment