Friday, 17 January 2014

Najib sertai masyarakat pelbagai kaum meriahkan sambutan Thaipusam

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Januari, 2014: Seperti tahun sebelumnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meluangkan masa bersama-sama masyarakat pelbagai bangsa dan agama menyaksikan keunikan sambutan Thaipusam di Batu Caves di sini.

Ketibaan Najib yang berpakaian tradisi masyarakat India ’kurta’ berwarna krim di perkarangan Batu Caves pada 10.15 pagi disambut Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S.Subramaniam, Naib Presiden Gerakan A. Kohilan Pilay dan Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S.Samy Vellu.

Turut menyambut ketibaan Perdana Menteri ialah Naib Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan dan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC P.Kamalanathan serta puluhan ribu masyarakat India yang berada di situ.

Sejak awal pagi, puluhan ribu penganut Hindu membanjiri kawasan Batu Caves, yang menempatkan Kuil Sri Subramaniyar Swamy bagi menyatakan kesyukuran, melaksanakan nazar atau menebus dosa masing-masing sempena sambutan Thaipusam.

Orang ramai termasuk pelancong asing turut bersesak sejak awal pagi untuk menyaksikan perarakan membawa ’kavadi’ iaitu satu upacara membayar nazar penganut Hindu.

Najib kemudiannya melawat gerai-gerai yang terdapat di kawasan sambutan serta beramah mesra dengan para pengunjung. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment